suria

Ada ‘plot twist’ kes gelandangan ditendang... Mangsa didakwa buang air merata! - “Kasut pelanggan pernah kena berak”

Tular insiden seorang gelandangan disiram air dan ditendang di Taman Maluri, Kuala Lumpur. -Gambar media sosial

KETIKA ramai menuding jari menyalahkan pengawal keselamatan dan tukang kasut dalam insiden gelandangan disimbah air, seorang wanita tampil menjelaskan sisi berlainan kejadian tersebut.

Dakwa wanita tersebut, gelandangan berkenaan sudah beberapa kali membuang najis di kawasan sekitar sehingga menimbulkan bau tidak menyenangkan.

Jelasnya, laporan polis mengenai gelandangan berkenaan sudah dibuat lebih awal, namun pihak berkuasa memaklumkan tiada tindakan boleh diambil selagi lelaki tersebut tidak mengganggu orang ramai.

"Gelandangan tu berak dan kencing merata. Bukan sekali. Pakcik yang tendang tu pula adalah tukang kasut. Kasut pelanggan dia pernah kena berak.

"Cakap baik-baik tak jalan. Sebab tu siram air. Pakcik tu tendang pun (sebab) dah habis sabar. Pelanggan dia boleh lari," katanya.

Dakwa wanita itu lagi, selain pelanggan tukang kasut, pengunjung bank di kawasan itu turut mengadu mengenai bau busuk.

"Pelanggan bank pun kompelin... datang bau busuk najis. Sebagai pengawal keselamatan, makcik tu kena jawab.

"Makcik tu pula adalah ibu tunggal anak empat. Dah dipanggil ibu pejabat, semoga dia tak dipecat," katanya.

Wanita itu turut meminta orang ramai untuk tidak menyalahkan pengawal keselamatan dan tukang kasut semata-mata atas insiden yang berlaku.

"Harap keadilan diberi berdasarkan keseluruhan cerita, bukan satu klip video pendek yang tular saja,” katanya.

Individu terbabit bagaimanapun tidak mendedahkan identitinya dan hubungan dengan pihak yang terlibat.

Terdahulu, tular video seorang lelaki yang sedang tidur di laluan pejalan kaki berhampiran bank disembur air oleh seorang pengawal keselamatan wanita.

Seorang lagi lelaki kemudian menendangnya, membuang barang-barangnya dan menyimbahnya dengan air.

Susulan itu, AmBank tampil memohon maaf susulan insiden yang berlaku di luar cawangan bank itu di Taman Maluri, Kuala Lumpur pada Selasa.

Artikel Lain