SEBUAH keluarga berbangsa India menarik perhatian warga maya apabila menziarahi salah satu pusara di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah di Taman Selasih, Batu Caves, Selangor pada Ahad.
Menerusi perkongsian di TikTok [Tonton Video] keluarga berkenaan adalah penganut agama Hindu, manakala kubur yang diziarahi mereka adalah ahli keluarga yang telah memeluk Islam dikenali sebagai Arjuna.
Video berdurasi 58 saat itu mengundang sebak apabila ibu arwah menangis sambil mencium dan mengusap batu nisan anak lelakinya itu.
Beberapa individu lain dipercayai adik beradik arwah pula menyiram air, menabur bunga dan membersihkan kubur Arjuna.
Keluarga berbangsa India (kanan) menguruskan jenazah ahli keluarga mereka yang memeluk Islam. -Gambar media sosial
Arjuna meninggal dunia pada 18 Oktober tahun lalu, bagaimanapun punca kematiannya tidak dinyatakan.
Berdasarkan perkongsian video lain [Tonton Video] di akaun TikTok yang sama, keluarga ini turut dilihat hadir menguruskan jenazah Arjuna pada 2024.
Ahli keluarganya dilihat mengusung jenazah dari dalam surau, menggali liang lahad hingga urusan pengebumian selesai.
Ruangan komen di kedua-dua hantaran tersebut mendapat pujian netizen kerana ia membuktikan kasih sayang seorang ibu terhadap anaknya tidak pernah luntur walaupun berlainan agama.
"Sebuah keluarga hebat yang penuh rasa cinta dan kasih sayang antara satu sama lain.
"Kasih sayang ibu pada anak yangg tiada penghujung. Terima kasih sebab tetap sayangkan Arjuna walaupun dia berbeza agama.
"Untungnya arwah masih ada doa daripada seorang ibu," antara komen warga maya.


