suria

Isteri rayu bantu suami terkandas banjir di Hatyai, rupanya 'hanyut' lebih awal check-in dengan 'officemate' wanita

Suami sepatutnya berlaku jujur terhadap isteri sendiri. -Gambar hiasan AI (kanan)

TULAR kisah seorang isteri meminta bantuan untuk menyelamatkan suaminya yang terkandas di Hatyai, Thailand gara-gara banjir selepas mendakwa lelaki itu gagal dihubungi.

Kisahnya itu dikongsikan oleh seorang individu yang memaklumkan dia dihubungi secara peribadi oleh wanita tersebut kerana risaukan keadaan suaminya yang dikatakan terkandas bersama rakan sekerja.

"Ada seorang isteri mesej saya minta bantuan, suami dia terperangkap di Hatyai dengan rakan sekerja dan kalau boleh tolong rescue suami dia dulu sebab anak-anak masih kecil dan tercari-cari ayah mereka.

"Saya ada sepupu dan ibu saudara menetap di Hatyai sebab kampung ibu saya memang dekat sana," tulis individu berkenaan yang merupakan seorang wanita tetapi tidak mendedahkan identiti diri.

Memandangkan dia mempunyai saudara mara di Hatyai, dia berasa bertanggungjawab untuk meminta mereka membantu membuat pemeriksaan, sebelum mendapati berlaku sesuatu yang mengejutkan.

Dakwa wanita itu, lelaki yang menjadi mangsa banjir tersebut didapati menyewa sebilik dengan rakan sekerjanya sepanjang empat hari berada di Thailand.

"Bila siasat, rupanya 'rakan sekerja' itu adalah perempuan dan sudah menjadi 'rakan sebilik' sepanjang dekat sana. 

ARTIKEL BERKAITAN: “Kami dah dapat bantuan...” - Wanita warga Malaysia terkandas banjir di Hatyai terharu ramai prihatin, mohon maaf atas kesulitan

"Wahai kaum lelaki, kesiankanlah anak dan isteri di rumah. Kalau tak malu pada manusia, malulah pada Allah," katanya, mengulas mengenai situasi yang terbongkar.

Wanita itu menegaskan bahawa dia membuat perkongsian bukan untuk meraih perhatian, sebaliknya sebagai peringatan buat para isteri agar tidak meletakkan kepercayaan penuh kepada pasangan.

Dalam hantarannya pada Isnin, individu itu turut berkongsi pengalamannya berdepan situasi banjir dan ketiadaan bekalan elektrik ketika di Hatyai.

"Alhamdulillah selamat tiba dari sempadan. Di bandar Hatyai tiada elektrik, air naik paras pinggang, bantuan makanan dan ubatan belum sampai. 

"Kami naik 4x4 (pacuan empat roda) balik ke border dan sempat tumpangkan ibu bersama bayi berusia lapan bulan serta seorang makcik yang ada asma kronik," jelasnya.

Sehingga hari ini, kira-kira 2,000 rakyat Malaysia yang terkandas di Hatyai berjaya dibawa keluar dan selamat pulang ke tanah air susulan banjir sejak Sabtu.

Menurut Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi, peluang membawa keluar warga Malaysia itu diambil ketika paras air di beberapa kawasan mula surut pada Ahad petang.

Artikel Lain