SEORANG wanita warga Malaysia dikenali sebagai Lily Suraini, yang merupakan antara pelancong terkandas akibat banjir di Hatyai, Thailand, memaklumkan dia sudah mendapat bantuan yang diperlukan.
Menerusi satu hantaran terbaharu di Facebook pada Sabtu, wanita tersebut berkata ramai individu tampil menghulurkan bantuan berupa makanan, lampin pakai buang dan susu bayi, sejurus perkongsiannya tular di media sosial.
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Banjir Hatyai: Rakyat Malaysia terkandas di hotel, terputus bekalan makanan dan elektrik
“Assalamualaikum semua. Terima kasih atas bantuan, kami dah dapat bantuan susu, lampin pakai buang dan makanan.
“Terima kasih banyak kepada hamba Allah yang sangat ramai membantu kami. Tak dapat nak sebut sebab ramai. Dan dah dapat cas telefon bimbit juga,” tulisnya.

Perkongsian Lily Suraini di Facebook pada Sabtu.
Dalam masa yang sama, wanita tersebut turut memohon maaf atas kesukaran yang timbul disebabkan situasi yang dihadapinya.
“Saya memohon maaf kepada seluruh page Malaysia, page Thailand dan pihak tourism yang ditekan-tekan oleh netizen untuk membantu saya.
“Ramai yang maki saya sebab menyusahkan orang, kata saya scammer mencari followers. Saya mohon maaf atas segalanya,” tulisnya lagi.
Bersyukur dan terharu kerana ramai insan yang mengambil berat akan kesulitan dihadapinya, Lily Suraini dalam masa yang sama berkata dia tidak akan membuat perkongsian seterusnya dan menunggu sehingga keadaan selamat untuk pulang ke tanah air.
Dalam perkongsian sebelum ini, Lily Suraini meminta bantuan kecemasan selepas memaklumkan dia dan keluarganya terkandas di Siam Oriental Hotel.
Dia memaklumkan mereka sekeluarga sedang berdepan masalah kekurangan makanan, susu dan lampin anak selain bekalan elektrik di hotel terputus.


