SEORANG lelaki didakwa bertindak mengintai dan merakam wanita di tandas pusat beli-belah Mayang Mall, Terengganu dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang, Khamis.
Kejadian itu tular selepas satu video memaparkan mangsa mengejar individu terbabit yang sedang berlari sambil membuat rakaman dengan pelaku dilihat turun dari eskalator.
Dalam video tersebut [Tonton Video], kedengaran wanita itu menjerit meminta bantuan orang ramai sambil mendakwa lelaki berkenaan mencuri rakam di dalam tandas perempuan.
"Eh bangang, mu (awak) rakam orang, bodoh! Eh b*b*lah jantan ni. Mu jangan larilah!
"Kak (tegur orang awam) pegang dia tu, dia rekod orang dalam jamban," kata wanita itu.
Sementara itu, Mayang Mall dalam kenyataan pada Jumaat malam memaklumkan pihaknya memandang serius insiden berkenaan dan telah mengambil tindakan segera.
Menurut pengurusan pusat beli-belah itu, laporan polis telah dibuat sejurus menerima aduan daripada mangsa, selain pihak polis menjalankan pemeriksaan di kawasan premis untuk siasatan lanjut.
"Kami sedang bekerjasama rapat dengan pihak polis untuk mengesan individu terbabit dan menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat agar menyalurkannya kepada pihak berkuasa," katanya.
Mayang Mall turut memaklumkan bahawa Polis Bantuan Mayang Mall telah meningkatkan rondaan di kawasan tandas serta melaksanakan pemantauan tambahan di seluruh pusat beli-belah bagi memastikan keselamatan pengunjung.
Pihak pengurusan menasihatkan orang ramai agar sentiasa peka dengan keadaan sekeliling dan segera melaporkan sebarang situasi mencurigakan kepada pihak mereka.


