KEMPEN kesedaran dan pendidikan digital #ThinkTwice Parental Advisory dilancarkan pada Jumaat bagi membantu ibu bapa memastikan keselamatan digital golongan remaja menerusi kerjasama antara TikTok, Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Content Forum) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
TikTok, dalam satu kenyataan, berkata inisiatif itu merupakan sebahagian daripada kempen literasi digital #ThinkTwice yang menekankan pendekatan berasaskan komuniti dan bukti dalam aspek keselamatan dalam talian.
Kempen itu turut menggariskan kepentingan tanggungjawab bersama antara ibu bapa, platform digital dan pembuat dasar, di samping menghormati hak kanak-kanak untuk mengakses maklumat, menyuarakan pendapat, melindungi privasi serta menikmati kebebasan berfikir.
Ketua Pegawai Eksekutif Content Forum, Mediha Mahmood, berkata kesejahteraan digital dalam kalangan remaja memerlukan sokongan keluarga kerana tabiat dan budaya penggunaan internet dibentuk melalui persekitaran rumah yang sihat.
"Keselamatan dalam talian tidak seharusnya bermaksud mengehadkan akses remaja ke ruang digital. Internet hanya mencerminkan isu sosial dunia sebenar. Budaya dibentuk oleh komuniti, dan tabiat baik bermula di rumah.
"Kita perlu memperkasa ibu bapa untuk memupuk kreativiti sambil menerapkan kewaspadaan, menggalakkan rutin yang sihat dan membina komunikasi bermakna bersama anak remaja mereka," katanya.
Ketua Dasar Awam TikTok Malaysia, Firdaus Fadzil, berkata cabaran yang dihadapi remaja seperti buli, tekanan rakan sebaya, kebimbangan kesihatan mental dan tingkah laku berisiko bukan fenomena baharu, namun peranan ibu bapa tetap penting dalam membimbing mereka.
"Ibu bapa dan penjaga ialah pembimbing utama kerana mereka paling dekat dan memahami keperluan anak-anak.
"Justeru, kami berusaha melengkapkan ibu bapa dengan pengetahuan dan alat untuk membentuk generasi digital yang bertanggungjawab supaya remaja lebih bersedia mengemudi ruang dalam talian dengan selamat," katanya.
Dia berkata panduan #ThinkTwice membantu ibu bapa memainkan peranan aktif melalui ciri keselamatan komprehensif TikTok, selaras dengan dapatan kajian global.
ARTIKEL BERKAITAN: 756 pelajar terlibat Kempen Internet Selamat di Kota Kinabalu
MCMC dalam kenyataan sama, berkata panduan itu melengkapi Kempen Internet Selamat suruhanjaya tersebut serta menyokong usaha kerajaan mewujudkan ekosistem digital yang lebih selamat dan bertanggungjawab.
Menurut MCMC, platform seperti TikTok memainkan peranan penting dalam melindungi pengguna sambil menghormati hak kanak-kanak untuk mengakses maklumat.
Selain itu, ia juga berperanan sebagai platform untuk menyuarakan pandangan secara bersesuaian dengan usia, selaras dengan komitmen Malaysia memperkukuh standard keselamatan dalam talian.
"Inisiatif seperti #ThinkTwice melengkapkan keluarga dengan alat praktikal, panduan dan kesedaran agar remaja Malaysia dapat meneroka, belajar dan berhubung dalam talian dengan yakin dan selamat," menurut kenyataan itu lagi.
Panduan tersebut turut memperkenalkan tiga tip praktikal bagi membantu ibu bapa meningkatkan keselamatan digital remaja.
Tip pertama: Memantau aktiviti digital remaja melalui ciri 'Family Pairing', ibu bapa boleh membuat pautan kepada akaun mereka dengan akaun remaja bagi memantau aktiviti, menerima notifikasi muat naik dan melihat masa penggunaan melalui 'Screen Time Dashboard'.
TikTok juga menetapkan akaun peribadi secara automatik bagi pengguna bawah 16 tahun melalui prinsip 'Safety by Design', manakala kanak-kanak bawah 13 tahun tidak dibenarkan membuka akaun.
Tip kedua: Melaras tetapan mengikut keperluan remaja yang mana ketetapan ini termasuk had masa skrin, mematikan notifikasi, memilih akaun peribadi atau umum, mengurus mesej langsung dan menetapkan kekerapan kandungan melalui ciri 'Manage Topics'.
Tip ketiga: Memulakan perbualan mengenai literasi digital dengan menggalakkan dialog terbuka tentang trend, risiko atau pengalaman tidak selesa dalam talian, di samping membimbing remaja memahami cara menyekat, melapor dan berinteraksi dengan selamat.
Menerusi hab pengetahuan #ThinkTwice, ibu bapa boleh mengakses bahan rujukan mengenai pencegahan penipuan, kesejahteraan mental dan panduan literasi digital bagi mengukuhkan pertimbangan serta ketahanan dalam talian remaja.


