suria

10 wira tidak didendang terima pengiktirafan SGHA 2025

10 pemenang Anugerah SGHA 2025 diraikan dalam majlis di Menara Star pada Khamis. -Foto AZHAR MAHFOF/The Star

MEREKA bukan selebriti dan tidak mencari publisiti, namun sifat prihatin serta belas kasihan dalam diri mereka telah mengubah kehidupan ramai individu dalam masyarakat di Malaysia.

Wira harian inilah yang menjadi tumpuan pada Anugerah Star Golden Hearts (SGHA) ke-11, yang mengiktiraf 10 individu dan organisasi yang memberikan inspirasi atas kerja kebajikan yang sering tidak kelihatan tetapi hakikatnya mereka cukup prihatin terhadap komuniti di seluruh negara.

Penerima tahun ini menyaksikan penglibatan mereka dalam pelbagai bidang seperti pemuliharaan hidupan liar, pembangunan komuniti, kebajikan sosial, perlindungan alam sekitar, biodiversiti serta bantuan krisis dan bencana.

Sepuluh pemenang tersebut ialah Lightup Borneo PLT, Tropical Rainforest Conservation and Research Centre, OrphanCare Foundation, RESPonsible Elephant Conservation Trust, REKAYU, Johnson Lam Hooi Liang, Kapten K. Bala, Mohamed Nazri Prem Nasir, Chew Song Kong dan Adrine Lee Mooi Keow.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Star Media Group (SMG), Chan Seng Fatt berkata sumbangan para pemenang menunjukkan bahawa kekuatan sebenar Malaysia bukan hanya pada pencapaian atau kemajuannya, tetapi pada kesediaan rakyatnya untuk saling mengambil berat.

Sejak mula diperkenalkan pada 2015, katanya, anugerah ini berkembang menjadi platform nasional yang mengiktiraf individu dan organisasi luar biasa yang mengukuhkan komuniti, melindungi golongan rentan dan membawa harapan ketika diperlukan.

“Anugerah ini bukan sahaja mengiktiraf penerima, tetapi turut meraikan bagaimana sifat belas kasihan masih mempunyai kuasa untuk membentuk kehidupan rakyat Malaysia,” katanya sewaktu majlis penganugerahan pada Khamis.

Chan berkata tema tahun ini, “Recognising the Unsung, Inspiring the Next”, mencerminkan semangat tersebut, sambil menyatakan setiap penerima memberi inspirasi kepada orang lain melalui kebaikan yang ditunjukkan, sekali gus mendorong lebih ramai individu untuk bersikap peduli dan bertindak.

“Kisah memberi inspirasi. Ia menghubungkan kita dan mengingatkan apabila seorang memilih untuk peduli, ramai lagi akan menyusul.

“Kepada para penerima, terima kasih kerana memimpin dengan empati, berkhidmat dengan rendah hati dan membuktikan belas kasihan menuntut keberanian," katanya.

Edisi tahun ini turut menyaksikan McDonald’s Malaysia sebagai rakan strategik, yang memperkenalkan Anugerah Caring Hearts McDonald’s buat julung kali bagi meraikan rakyat Malaysia yang berusaha tanpa mementingkan diri, memberi impak bermakna kepada kehidupan orang lain, tidak didorong oleh pengiktirafan tetapi komitmen mendalam terhadap kesejahteraan komuniti.

McDonald’s Malaysia diwakili Naib Presiden Kanan merangkap Ketua Pegawai Impak, Melati Abdul Hai, serta Pengarah Komunikasi Korporat, Shamsidar Yahya pada majlis tersebut.

Shamsidar berkata SGHA mengingatkan semua tentang kuasa yang dimiliki setiap individu untuk mengangkat kehidupan orang lain.

Dia mengakui betapa sukarnya memilih pemenang memandangkan 568 pencalonan tahun ini menunjukkan hasil kerja yang luar biasa.

“Walaupun datang daripada latar belakang dan cabaran yang berbeza, kita berkongsi satu tujuan iaitu menjadikan kehidupan orang lain lebih baik.

“Setiap daripada anda melakukan kerja mengagumkan, dan anda semua ialah wira Malaysia,” katanya.

Ketua hakim SGHA, Tan Sri Dr Gooi Hoe Soon berkata anugerah ini memberi peluang untuk mengiktiraf rakyat Malaysia yang sikap sifat belas kasihan, komitmen dan keberanian mereka telah menyentuh kehidupan orang lain serta memperkukuh komuniti di seluruh negara.

Sejak 2015, SGHA mengiktiraf 100 pemenang, menerima lebih 3,500 pencalonan dan menyalurkan lebih RM1.63 juta bagi menyokong inisiatif komuniti yang memberi impak.

“Angka ini menceritakan kisah kehidupan yang disentuh, harapan yang dipulihkan dan komuniti yang digerakkan melalui sifat belas kasihan,” katanya. 

Meneliti penyertaan tahun ini, Gooi berkata jelas bahawa usaha ini tidak memerlukan tindakan besar.

“Cerita-cerita ini memperlihatkan keteguhan kemanusiaan yang kita kongsi bersama,” katanya.

Dia memuji para penerima anugerah, sambil menyatakan usaha mereka mengingatkan bahawa kepimpinan bermula dengan perkhidmatan dan kebaikan berupaya mengubah kehidupan.

“Anda menunjukkan harapan boleh tumbuh daripada komuniti kita sendiri, keberanian boleh hadir dalam kelembutan dan belas kasihan mampu memberi perbezaan nyata.

“Impak anda akan berterusan selepas hari ini. Semoga kisah anda menginspirasi lebih ramai untuk mengangkat dan berkhidmat kepada orang lain,” katanya.

Pemenang kategori kumpulan menerima RM10,000 setiap satu, manakala penerima individu menerima RM8,000 setiap seorang.

REKAYU turut dinamakan penerima Anugerah Caring Hearts McDonald’s sebagai pengiktirafan terhadap usaha memperkasakan belia kurang bernasib baik dan bekas banduan melalui kemahiran pertukangan kayu dengan mengitar semula sisa kayu menjadi hasil yang berguna.

Pasukan itu menerima hadiah tambahan RM10,000.

SGHA ialah anugerah tahunan oleh The Star, meraikan rakyat Malaysia yang menunjukkan dedikasi luar biasa terhadap kerja sosial dan memupuk perpaduan dalam kalangan komuniti.

Setiap tahun, rakyat Malaysia dijemput untuk mencalonkan individu atau organisasi cemerlang.

Untuk maklumat lanjut, layari sgha.com.my.

 

Artikel Lain