SEORANG lelaki hanya sempat mengenakan baju tidur wanita ketika bilik sewa di sebuah premis di Taman Kota Kenari dekat Kulim, Kedah, diserbu sepasukan anggota pejabat agama daerah pada pagi Khamis.
Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kulim (PADK), Anwar Sharifudin Mat Saad berkata, lelaki berusia 23 tahun itu dicekup berkhalwat dengan remaja perempuan berusia 16 tahun pada pukul 9.50 pagi, selepas pihaknya menerima maklumat berhubung kegiatan maksiat di bilik sewa berkenaan.
Katanya, pasangan berkenaan mengambil masa kira-kira satu minit sebelum membuka pintu.
ARTIKEL BERKAITAN: Pasangan tunang ditangkap khalwat di rumah, ambil kesempatan berasmara ketika ibu balik kampung
Hasil pemeriksaan kemudian menjumpai lelaki tersebut berada di atas katil dengan memakai baju tidur perempuan.
"Remaja perempuan itu pula memakai baju kelawar. Hasil siasatan mendapati, mereka tidak mempunyai sebarang ikatan sah suami isteri atau mahram," ujarnya.
Menurut Anwar, lelaki tersebut merupakan bekas pekerja kilang manakala pasangannya dikatakan bekerja di sebuah pusat snooker.
"Remaja perempuan terbabit dikatakan baru bekerja sejak tiga bulan lalu dan menyewa bersama adik perempuan kekasihnya yang bekerja di tempat sama.
"Lelaki itu memberi alasan menumpang tidur di situ setelah menghantar teman wanita pulang dari tempat kerja," katanya lagi.
Anwar menambah siasatan dijalankan mengikut Seksyen 25 (a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah (EKJSK) 2014 kerana disyaki berkhalwat.


