PARA penumpang monorel melalui detik mencemaskan apabila tren yang dinaiki mengalami kerosakan dan berhenti di tengah-tengah landasan tinggi antara Stesen Medan Tuanku dan Chow Kit pada Khamis.
Berdasarkan video yang tular [Tonton Video] penumpang dipindahkan ke monorel lain melalui pintu kecemasan dengan dibantu petugas Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail).
"Monorel buat hal ke tu? Tapi seramnya transfer (pindahkan) penumpang macam tu," kata pemilik video berkenaan yang merakam kejadian dari sudut tingkap sebuah bangunan tinggi.
Orang ramai yang menonton rakaman itu juga meluahkan rasa takut jika mereka terpaksa berdepan situasi sama.
"Ngerinya cara mereka transfer penumpang. Memang seram dan gayat.
"Keburukan monorel ni kalau rosak susah nak transfer penumpang. Berbeza dengan MRT ada laluan pejalan kaki kat tengah-tengah tu," demikian kata sebahagian netizen.
Sementara itu, Rapid Rail memaklumkan kejadian berlaku pada pukul 8.50 pagi itu melibatkan sebuah tren bernombor 25 yang mengalami gangguan bekalan kuasa, mengakibatkan tren tersebut berhenti di antara Stesen Medan Tuanku dan Stesen Titiwangsa.
Menerusi kenyataan, seorang penumpang pengsan di dalam tren tersebut dan dikeluarkan pasukan bomba.
"Pasukan perubatan turut berada di lokasi bagi memberikan rawatan awal sebelum mangsa dibawa pulang oleh ahli keluarga.
"Semua penumpang lain dibawa ke Stesen Medan Tuanku untuk meneruskan perjalanan masing-masing," katanya.
Rapid Rail turut memaklumkan bahawa perkhidmatan tren di laluan monorel kembali beroperasi sepenuhnya pada pukul 11.33 pagi selepas kerja-kerja baik pulih berjaya dilaksanakan.


