suria

[V] Panggilan kecemasan terputus, ibu lahirkan bayi songsang sendirian... Rakaman bapa mandikan jenazah putera sulung undang sebak

Bayi sulung pasangan ini meninggal dunia akibat lemas selepas dilahirkan dalam keadaan songsang. -Foto Instagram Mr Wan Cai

LULUH hati sepasang suami isteri apabila cahaya mata sulung yang ditunggu-tunggu, meninggal dunia akibat lemas selepas dilahirkan dalam keadaan songsang. 

Menerusi perkongsian pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ), Mr Wan Cai  di Instagram [Tonton Video] , kejadian menyayat hati itu berlaku pada petang Rabu lalu. 

Menurutnya, wanita yang juga ibu kepada bayi malang berkenaan mengalami tanda untuk melahirkan pada petang kejadian, ketika sedang berada di rumahnya di Puncak Alam, Selangor.

"Menyedari isterinya sedang kesakitan, si suami segera menghubungi talian kecemasan 999, namun panggilan pertama tidak berjawab, menyebabkan si bapa semakin panik.

"Dalam kesakitan yang semakin memuncak, si isteri berjalan ke bilik air kerana merasakan sudah hendak bersalin.

"Suami yang tidak berputus asa terus mencuba menghubungi talian kecemasan, dan panggilannya dijawab oleh operator namun talian terputus beberapa saat kemudian," kongsinya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak sempat hadir majlis cukur jambul, bayi enam bulan yatim piatu sekelip mata - “Semoga Laylaa kuat, semua sayang Layla tau”

Dalam keadaan panik, suami wanita berkenaan cuba membantu proses kelahiran isterinya kerana bayi sudah keluar hingga paras leher dalam keadaan songsang.

"Dalam keadaan sakit dan lemah, si ibu terus berusaha meneran berulang kali sehingga akhirnya kepala bayi berjaya dilahirkan sepenuhnya.

"Tidak lama kemudian, si bapa dapat menghubungi talian kecemasan. Operator perubatan bertindak membimbingnya melakukan bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) ke atas bayi namun tidak menunjukkan tindak balas," menurutnya.

Pegawai perubatan yang tiba di rumah pasangan berkenaan bagaimanapun mengesahkan putera sulung mereka sudah meninggal dunia. 

Lebih menyayat hati, dalam perkongsian video yang memaparkan pasukan UKVJ menguruskan jenazah, bapa bayi berkenaan tidak dapat menahan air mata ketika turut serta memandikan putera sulungnya.

"Si ibu yang turun dari kereta dan berdiri di pusara kecil anaknya. Terdengar kata-kata 'maafkan mama' yang diungkapkan si ibu, membuatkan kami yang ada di situ tidak dapat menahan sebak," tulisnya lagi.

Menurutnya, jenazah bayi yang diberi nama Muhammad Amir Faris dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang.

Artikel Lain