suria

[V] Banjir Hatyai: Rakyat Malaysia terkandas di hotel, terputus bekalan makanan dan elektrik

Keadaan banjir di Hatyai yang berlaku sejak Jumaat. -Foto media sosial

BEBERAPA rakyat Malaysia memohon bantuan segera disalurkan selepas mereka terkandas di bandar Hatyai berikutan banjir besar yang melanda sejak Jumaat.

Dalam satu perkongsian di Threads, pelayar dikenali Syafiqah Syammeera memaklumkan keadaan di Neo Grand Hotel yang semakin membimbangkan susulan hujan lebat berterusan di wilayah selatan Thailand.

Keadaan semakin meruncing apabila dia memaklumkan kedai-kedai makan tidak beroperasi dan bekalan elektrik hotel telah diputuskan pada Sabtu, sebagaimana video [Tonton video] dikongsikannya.

Dia mendakwa, seramai 18 ahli keluarga termasuk seorang bayi terperangkap tanpa sumber makanan.

"Maklumat terkini pukul 12.01 waktu Thailand. Hujan semakin lebat, kedai makan tak ada yang buka.

"Hotel sudah matikan bekalan elektrik. Siapa dekat sini tahu kedai makan yang buka? Kami jalan pergi ambil sendiri pun tak apa," jelasnya di Threads.

Sementara itu, seorang lagi wanita warga Malaysia, Lily Suraini, turut meminta bantuan kecemasan selepas memaklumkan dia dan keluarganya terkandas di Siam Oriental Hotel.

Suasana bilik Lily yang gelap akibat bekalan elektrik terputus. -Foto Facebook Lily

Dalam hantaran awalnya di Facebook, Lily berkata mereka sedang berdepan masalah kekurangan makanan, susu dan lampin anak selain bekalan elektrik di hotel terputus.

Dalam kemas kini terbaharunya, Lily memaklumkan bahawa bateri telefonnya hampir habis dan hubungan boleh terputus pada bila-bila masa.

"Kami tak dapat balas semua mesej sebab bateri dah nak habis, tinggal 10 peratus. Kami berada di bilik 1514. Perlukan susu untuk budak dua dan empat tahun serta lampin pakai buang.

"Kami juga perlukan makanan dan air mineral untuk kelangsungan hidup. Ramai lagi perlukan bantuan di sini yang ada anak kecil. Bekalan elektrik sudah dimatikan.

"Lif sudah tidak dapat digunakan. Turun guna tangga saja dari tingkat 15. Kalau kami diam, tanda bateri telefon sudah habis," ujarnya dalam hantaran berkenaan.

Pada Selasa, Pejabat Sumber Air Negara Thailand (ONWR) mengeluarkan amaran bahawa selatan Thailand dijangka mengalami hujan lebat berterusan selama enam hari bermula 18 hingga 23 November.

Menurut ONWR, taburan hujan meningkat akibat monsun timur laut yang kuat meliputi Teluk Thailand, selain tiupan angin timur yang memperburukkan cuaca di kawasan selatan. 

Keadaan angin dan ombak di Laut Andaman turut dijangka lebih kuat sepanjang tempoh amaran.

Artikel Lain