suria

Banjir Hatyai: Individu dakwa pelancong habis bekalan makanan… Pintu hotel dirantai, pasport dipegang pihak pengurusan

Keadaan banjir menyukarkan saluran bantuan makanan dihantar kepada mangsa terperangkap banjir. -Foto The Nation

PERCUTIAN hujung minggu kebanyakan rakyat Malaysia ke Hatyai bertukar mimpi ngeri apabila banjir besar yang melanda selatan Thailand, menyebabkan ribuan orang terperangkap.

Difahamkan hampir 4,000 pelancong Malaysia berada di wilayah itu ketika banjir melanda sejak Jumaat.

Sebahagian daripada mereka berjaya pulang ke Malaysia tetapi masih ramai dilaporkan terkandas di penginapan masing-masing tanpa akses kepada makanan, ubat-ubatan dan laluan keluar.

Di Facebook, seorang lelaki yang menggunakan nama Prince of Dannok berkongsi tentang saluran bantuan yang sedang diusahakan bagi menyelamatkan mangsa, terutama warga Malaysia. 

Di ruangan komen, terdapat individu yang memberi respons menceritakan keadaan pelancong di sebuah hotel yang didakwa tidak dibenarkan keluar oleh pengurusan.

Individu berkenaan mendakwa sehingga Isnin petang, kira-kira 170 orang sedang terkandas di hotel tersebut.

"Warga emas, kanak-kanak dan bayi. Makanan langsung tak ada. Tak boleh duduk lobi sebab air dah paras pinggang. Terpaksa sewa bilik hotel dah empat hingga lima hari dengan bayaran penuh.

"Bekalan ubat habis. Pintu depan hotel dirantai kedua-dua belah untuk elak penyewa lari tak bayar atau elak air masuk. Pihak pengurusan hotel pegang pasport pelancong," komen individu berkenaan.

Membalas komen tersebut, pemilik akaun berkata pihaknya sudah cuba menghubungi pihak bertanggungjawab, namun operasi menyelamat agak kelam-kabut berikutan hujan tidak berhenti dan paras air terus meningkat.

Dalam pada itu, seorang lagi pengguna memaklumkan keluarganya kini berada di sebuah rumah inap di Hatyai dan terputus hubungan sejak Isnin pagi. 

"Pagi tadi, air paras dada. Makanan pun sudah habis dan ramai terperangkap. Mereka duduk dekat Homestay di Hatyai.

"Bantuan tak sampai sebelum ni sebab dua jambatan runtuh. Harap kali ni ada yang boleh bantu mereka," jelas individu berkenaan.

Artikel Lain