MAJLIS Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengambil tindakan segera susulan hujan lebat sejak Ahad.
Langkah awal yang diambil termasuk mengarahkan anggota Pasukan Tindakan Segera (Pantas) menjalankan pemantauan di beberapa kawasan 'hotspot' banjir seperti Sungai Damansara dan Seksyen 13.
"Hasil pemeriksaan mendapati berlaku kenaikan paras air, walaubagaimanapun pam berfungsi dengan baik," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Selain itu, MBSA turut mengenal pasti 12 lokasi yang mengalami kenaikan air [Tonton Video].
Lokasi tersebut adalah Taman Desa Kemuning, Seksyen 35; Kampung Budiman, Seksyen U14; Kampung Kubu Gajah, Seksyen U17; Giant, Seksyen 13; Taman Sri Lembayung, Seksyen 25; Jalan Opera, Seksyen U2 dan Persiaran Jubli Perak, Seksyen 19.
Turut disenaraikan adalah Jalan Mat Raji, Padang Jawa Seksyen 16; Jalan Mantap 25/126, Seksyen 25; Jalan Sentosa 25/129, Seksyen 25; Persiaran Budiman, Seksyen 25 dan Persiaran Perusahaan, Seksyen 23.
"Orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati, menggunakan laluan alternatif, dan mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diminta untuk berpindah di pusat penempatan sementara yang telah disediakan," katanya.
Sebarang kecemasan atau bantuan segera berkaitan banjir di Shah Alam boleh hubungi Pasukan Pantas di talian 03-55105811.
Untuk rekod, pada 18 Disember 2021, Shah Alam lumpuh selepas banjir melanda hampir keseluruhan kawasan sehingga jalan-jalan utama terputus.


