KEMENTERIAN Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) pada Sabtu menyerahkan sebuah dewan serbaguna terbuka yang siap dibina kepada komuniti Kampung Tebuk Mufrad di Sabak Bernam, Selangor.
Projek bernilai RM2.35 juta itu merupakan inisiatif di bawah Program Kampung Angkat MADANI dan disempurnakan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Majlis penyerahan turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail, wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, pegawai daerah, ketua kampung serta penduduk setempat.
Pembinaan dewan tersebut mengambil masa tujuh bulan, bermula April hingga Disember 2025, menjadikannya antara projek terpantas hasil kerjasama MITI dan JKR.
Dibina di atas tanah wakaf Masjid Tebuk Mufrad seluas 2,600 meter persegi, dewan itu bakal menjadi pusat aktiviti komuniti lengkap dengan kemudahan sukan seperti futsal, badminton, bola tampar, bola keranjang dan sepak takraw.
Tengku Zafrul (kanan) mengambil peluang menggunakan kemudahan gelanggan badminton di Dewan Serbaguna Terbuka Kampung Tebuk Mufrad pada Sabtu.
Tengku Zafrul dalam ucapannya berkata pembinaan dewan ini membuktikan komitmen Kerajaan MADANI untuk merapatkan jurang pembangunan bandar dan luar bandar serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Kami berharap impak dewan ini bukan sahaja dari sudut pembangunan sosial dan sahsiah, tetapi juga mampu menjana dan melestarikan ekonomi penduduk Kampung Tebuk Mufrad.
"Selain menyemarakkan semangat perpaduan, ia juga boleh memupuk keusahawanan terutama dalam bidang pelancongan seperti inap desa dan pemasaran produk tempatan,” katanya.
Selain pembinaan dewan, 14 agensi di bawah MITI turut menyumbang melalui penambahbaikan infrastruktur fizikal termasuk pemasangan lampu solar dan penyediaan komputer, serta melaksanakan program pembangunan insan seperti keusahawanan, saringan kesihatan, bengkel pembaikan motosikal, motivasi remaja dan ceramah agama.
Pada majlis sama, MITI turut melancarkan buku Tebuk Mufrad: Kampung Angkat MADANI MITI yang dihasilkan oleh penduduk kampung, mendokumentasikan perjalanan mereka sebagai komuniti angkat MITI.
Tengku Zafrul menandatangani plat perasmian Dewan Serbaguna Terbuka Kampung Tebuk Mufrad pada Sabtu.
Ketua Setiausaha MITI, Datuk Hairil Yahri Yaacob menegaskan MITI komited membawa pembangunan lebih dekat kepada rakyat, termasuk di kawasan luar bandar.
“Dewan ini bukan sekadar ruang aktiviti, tetapi pemangkin kepada perpaduan, pembangunan bakat serta peluang ekonomi baharu selaras dengan konsep Kesejahteraan dan Ihsan di bawah Malaysia MADANI,” katanya.
MITI turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Selangor, JKR, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Pejabat Daerah Sabak Bernam, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung serta penduduk kampung atas sokongan mereka.
MITI berharap dewan berkenaan dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi aktiviti komuniti, program perayaan, pembangunan bakat sukan serta pelbagai inisiatif kemasyarakatan pada masa hadapan.


