SEORANG pemuda bermotosikal dimarahi oleh warga emas selepas menunggang motosikal dengan ekzos bising berhampiran kawasan rumahnya.
Menerusi perkongsian video tular [Tonton Video], kejadian berlaku di kawasan banjir dipercayai di Pantai Timur berdasarkan loghat yang digunakan.
Video berdurasi lebih seminit itu memaparkan lelaki berkenaan bertindak menahan pemuda berkenaan sebelum memarahinya dan mematikan motosikal tersebut.
"Kalu aku ambik motosikal gi blow rumah mung guane? (kalau aku ambil motosikal dan buat bising di rumah kamu bagaimana?)," soal lelaki itu.
Kemudian lelaki terbabit juga bertindak membonceng motosikal itu dan mengarahkan pemuda berkenaan untuk menunjukkan rumahnya.
"Aku nak gi rumah mung, boleh dak? Mampuh satgi ni," kata lelaki itu sambil tangannya hampir menampar muka pemuda berkenaan.
Lelaki itu berkata bunyi ekzos motosikal yang diubah suai terlalu bising hingga menyusahkan penghuni yang mempunyai anak kecil.
Pemuda yang dimarahi hanya memandang ke bawah dan tidak berani melawan mahupun membantah pertanyaan warga emas terbabit.
Sementara itu, rata-rata netizen berpuas hati dengan tindakan lelaki itu memarahi pemuda berkenaan.
Mereka mendakwa sudah lama menyimpan perasaan geram terhadap golongan yang mengubah suai ekzos hingga mengeluarkan bunyi terlalu bising.


