TULAR satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan kejadian tidak dijangka di ruang solat wanita apabila seorang lelaki dirakam mencuri dua buah beg milik jemaah ketika solat berjemaah.
Video tersebut menunjukkan suspek yang memakai baju hijau, berkain pelikat biru dan berkopiah didapati berdiri di pintu masuk saf wanita sebelum bertindak mengambil beg ketika jemaah sedang sujud.
Tanpa menunggu lama, lelaki berkenaan segera melarikan diri selepas berjaya mencapai dua beg dalam kejadian di Masjid Kampung Che Lijah di Kuala Dungun, Terengganu.
Jawatankuasa masjid itu dalam satu kenyataan memaklumkan kejadian berlaku kira-kira pukul 8.22 malam pada Khamis ketika solat Isyak berjemaah.
"Mohon semua jemaah Muslimin dan Muslimat agar sentiasa berjaga-jaga serta memastikan barang berharga berada di tempat selamat semasa solat.
"Sama-sama kita elakkan kejadian seperti ini berulang," tulisnya di kapsyen video yang dimuat naik di TikTok [Tonton video].
Setakat ini, pihak masjid tidak berkongsi maklumat lanjut berhubung tindakan susulan atau perkembangan kes berkenaan.
Menjengah ruang komen, rata-rata netizen menzahirkan rasa kecewa dan mencadangkan langkah pencegahan agar kejadian sama tidak berulang.
"Rasanya lebih baik tinggal handbag dalam kereta sahaja lepas ni.
"Apabila kita selalu lihat kes macam ni, tak payah la bawa beg. Saya tegur ni jangan nak bagi alasan macam-macam.
"Tolonglah ada sekuriti dekat pintu masuk masjid. Tak kisah wanita atau lelaki. Banyak kejadian macam ni tapi itulah siapa pula nak bayar gaji pekerja ni kan," komen sesetengah netizen.


