SEORANG lelaki tempatan berusia 48 tahun ditahan selepas didakwa mencabul tiga remaja perempuan di asrama Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kubu Bharu, Selangor.
Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Suprintendan Ibrahim Husin, pihaknya menerima tiga laporan berhubung kejadian itu pukul 4.16 petang pada Rabu.
"Siasatan awal mendapati suspek dipercayai menyentuh ketiga-tiga remaja berusia 16 tahun ketika mereka sedang tidur di katil masing-masing," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Ibrahim berkata, suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau itu ditahan dan akan direman bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara hingga 20 tahun atau sebatan jika sabit kesalahan. -The Star


