suria

Pelajar lelaki ditemukan pengsan dalam tandas asrama sekolah lepas dipukul

Mengasari rakan di sekolah adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan hukuman. -Gambar hiasan AI

SERAMAI empat pelajar ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes seorang pelajar lelaki ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam tandas asrama sebuah sekolah di Sungai Petani, Kedah.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan mengesahkan penahanan pelajar berusia antara 16 hingga 17 tahun itu susulan kejadian yang berlaku pada awal pagi Isnin lalu.

"Setakat ini seorang daripada empat pelajar terbabit iaitu yang berusia 16 tahun direman di Mahkamah Sungai Petani untuk membantu siasatan, manakala tiga yang lain dilepaskan," katanya.

Hanyan berkata, kejadian hanya disedari selepas ibu mangsa dihubungi guru sekolah kira-kira pukul 9.05 pagi, memaklumkan anaknya ditemukan dalam keadaan pengsan di dalam tandas.

Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Menurut Hanyan, mangsa mendakwa dia dipukul beberapa pelajar dalam satu kejadian sekitar pukul 12.10 tengah malam.

Kejadian dipercayai berpunca daripada tuduhan bahawa mangsa memburukkan rakan kepada salah seorang suspek.

Susulan itu, suspek mengajak tiga lagi rakannya untuk mencari mangsa sehingga menyebabkan berlakunya pergaduhan.

"Ini kejadian pertama membabitkan sekolah itu dan tiada kamera rakaman litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian," katanya.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

Artikel Lain