suria

[V] Anggota polis langgar penunggang motosikal hingga maut ditahan

Keadaan kemalangan yang mengakibatkan seorang penunggang motosikal maut.

SEORANG anggota polis ditahan selepas pikap dipandunya merempuh dua motosikal di Jalan Persiaran Wawasan, berhampiran Kompleks Seri Putera, di Kangar, Perlis.

Kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 10.20 malam Selasa mengakibatkan seorang penunggang motosikal maut manakala seorang lagi cedera parah.

Difahamkan, insiden tragik itu berlaku ketika anggota polis terbabit sedang melakukan rondaan.

Menurut Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu pikap polis berkenaan.

"Penunggang motosikal berusia 24 tahun maut manakala seorang lagi penunggang berusia 25 tahun cedera.

"Ketika kejadian mereka dari arah Seriab ke kawasan Gua Sami.

"Anggota yang memandu pikap polis itu ditahan untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, Yusharifuddin berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dia turut menyeru individu yang menyaksikan kemalangan maut tersebut untuk tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.

Terdahulu, rakaman video tular memaparkan keadaan kemalangan [Tonton Video] yang berlaku dengan sebuah motosikal berada di bahagian bawah hadapan pikap polis manakala sebuah lagi berada di tengah jalan laluan berkenaan.

Artikel Lain