DATUK Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin meletak jawatan sebagai setiausaha politik kanan perdana menteri selepas penularan surat sokongan untuk kontraktor dalam projek pembinaan hospital.
Menurut beliau, tindakan drastik itu diambil selepas mendapati terdapat percubaan untuk menyerang dirinya berhubung pengeluaran surat sokongan berkenaan.
Malah katanya, perkara tersebut dilihat boleh mencemarkan imej kerajaan.
"Oleh itu, saya telah memutuskan untuk mempertahankan diri daripada serangan sedemikian. Saya juga telah mengemukakan peletakan jawatan saya kepada perdana menteri pagi ini (Selasa).
"Saya mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri atas kepercayaannya kepada saya," tulisnya di laman X pada Selasa.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau menerima keputusan peletakan jawatan setiausaha politik kanannya itu.
Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Shamsul Iskandar atas khidmatnya.
"Berkenaan dengan dakwaan yang timbul, saya tegaskan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bebas untuk menjalankan siasatan segera tanpa sebarang campur tangan luar," katanya menerusi akaun rasmi Facebook.
Perdana Menteri turut menegaskan bahawa kerajaan Madani kekal teguh dengan prinsip ketelusan dan integriti.
Justeru katanya, ruang diberikan untuk proses siasatan mengikut kedaulatan undang-undang.
Pada 18 November, Anwar mengesahkan di Dewan Rakyat bahawa beliau telah menegur setiausaha politiknya berhubung surat sokongan itu yang dikeluarkan tahun lepas.
Pada masa sama beliau menjelaskan bahawa peraturan dan prinsip kerajaan tidak membenarkan tindakan sedemikian melainkan arahan ‘sila semak’.
Untuk rekod Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin merupakan Pengerusi Biro Antarabangsa Parti Keadilan Rakyat.
Beliau sebelum ini pernah menjawat jawatan eksekutif iaitu Timbalan Menteri Industri Utama dari tahun 2018 hingga 2020 dan mantan Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya selama dua penggal (2013-2022).


