SUKARELAWAN yang membantu mangsa banjir di Hatyai, Thailand meluahkan rasa sedih dan malu dengan sikap pengotor segelintir rakyat Malaysia.
Mohd Amir Faizal mendedahkan sebahagian daripada mangsa banjir enggan membersihkan sampah yang dibuang sebelum beredar dari lokasi mereka dikumpulkan di hadapan gedung beli-belah, Central Hatyai.
Pekerja kebersihan terpaksa membersihkan sampah yang ditinggalkan rakyat Malaysia. -Gambar media sosial
“Aku sebagai orang Malaysia pun rasa sedih sangat, masa susah mereka minta tolong kita. Tapi apabila mereka dah senang, dah boleh balik, mereka tinggal sampah macam ni.
“Inilah perangai apabila orang dah senang. Minum tak habis, tinggal botol… lampin pun campak merata. Orang bagi makan elok-elok, tapi tinggal sampah.
"Tak kira apa bangsa, walaupun bukan semua, tapi ni sampah dari orang Malaysia," katanya menerusi perkongsian video di Facebook [Tonton Video].
Katanya lagi, perbuatan itu bukan sahaja memalukan diri sendiri, bahkan mencemarkan imej Malaysia di mata masyarakat Thailand.
ARTIKEL BERKAITAN: “Kami dah dapat bantuan...” - Wanita warga Malaysia terkandas banjir di Hatyai terharu ramai prihatin, mohon maaf atas kesulitan
ARTIKEL BERKAITAN: Isteri rayu bantu suami terkandas banjir di Hatyai, rupanya 'hanyut' lebih awal check-in dengan 'officemate' wanita
“Aku dah tegur banyak kali perangai macam ni, tapi buat tak tau ja. Aku malu dengan orang Thailand.
"Mereka terpaksa upah orang datang sapu sampah yang kita tinggal. Tolonglah, jangan bagi orang Thailand tengok kita ni buruk,” katanya.
Mohd Amir juga merayu agar rakyat Malaysia menjaga akhlak dan kebersihan, serta tidak memalukan negara ketika berada di luar.
“Jaga perangai. Tolonglah. Jangan buat kami malu,” katanya.
Menerusi video berdurasi lebih 10 minit itu, Mohd Amir menunjukkan sampah yang dibuang rakyat Malaysia dan petugas kebersihan bertungkus lumus membersihkan kotoran tersebut.


