suria

Atuk umur 66 tahun antara ditahan disyaki terbabit aktiviti luar tabii… Kondom, minyak pelincir turut dirampas

Antara sebahagian yang ditahan pada Sabtu.

SERAMAI 13 lelaki termasuk pengusaha dan pekerja sebuah premis perniagaan ditahan polis disyaki terbabit dalam aktiviti hubungan songsang di Bandar Perai Jaya, Pulau Pinang pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris, berkata kesemua yang ditahan pada pukul 7 malam itu terdiri daripada pelanggan membabitkan sembilan lelaki tempatan dan dua lelaki warga asing berusia lingkungan 19 hingga 66 tahun.

"Manakala pengusaha dan pekerja yang juga warga tempatan berusia 57 dan 59 tahun turut ditahan untuk siasatan lanjut.

"Dalam serbuan itu, polis merampas peralatan seperti kondom, minyak pelincir serta beberapa peralatan berkaitan aktiviti songsang.

"Telefon bimbit milik tangkapan yang diperiksa mempunyai klip video lucah turut dirampas untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada siapa mengaku jadi mangsa gejala luar tabii di spa lelaki, polis gagal dapat perintah tahanan reman

Serbuan itu dilaksanakan pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah bersama pasukan operasi pelesenan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Helmi berkata, siasatan mendapati lokasi premis adalah bangunan tiga tingkat yang mana aktiviti itu dijalankan di tingkat dua dan tiga sejak dua bulan lalu.

"Premis itu mempunyai ruang rehat, sauna dan ruangan partisyen yang dijadikan tempat untuk aktiviti hubungan songsang.

"Hasil ujian urin ke atas semua tangkapan mendapati negatif dadah. Semakan rekod lampau juga mendapati salah seorang mempunyai rekod berkaitan jenayah," katanya.

Katanya, kesemua tangkapan kini direman selama enam hari hingga Rabu depan untuk membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 373/377B Kanun Keseksaan ke atas pengusaha dan pekerja kerana disyaki menjadi penganjur kepada aktiviti seks luar tabii.

"Manakala 11 pelanggan disiasat mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan kerana disyaki melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii.

"Seterusnya, tujuh tangkapan yang mempunyai bahan lucah dalam telefon bimbit disiasat mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan serta dua lelaki warga asing juga akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa menggunakan pas yang sah," katanya.

Artikel Lain