suria

Wajib buang kerja! Mara tak kompromi kakitangan terlibat aktiviti songsang

Asyraf Wajdi berkata tindakan tegas termasuk dibuang kerja akan diambil terhadap mana-mana kakitangan Mara sekiranya didapati terlibat dengan aktiviti songsang. -Gambar hiasan (kiri)

MAJLIS Amanah Rakyat (Mara) tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana kakitangannya sekiranya didapati terlibat dengan aktiviti songsang. 

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tindakan tegas termasuk dibuang kerja akan dikenakan tanpa kompromi bagi memastikan integriti dan imej Mara sentiasa terpelihara. 

"Pengurusan Mara tahu pendirian tegas saya, jika ada pegawai mahupun staf Mara atau di mana-mana institusi pendidikan Mara terlibat dengan aktiviti songsang, tindakan keras sehingga dibuang kerja wajib diambil," ujarnya dalam satu hantaran di Facebook.

ARTIKEL BERKAITAN: Spa luar tabii diserbu! Pakar bedah, timbalan pendakwa raya antara penjawat awam ditahan

Menurut beliau, tindakan sama pernah diambil sebelum ini terhadap beberapa kakitangan Mara yang didapati terlibat dengan aktiviti songsang. 

"Saya pernah mempengerusikan Jawatankuasa Majlis Mara berkenaan tatatertib pegawai. 

"Pernah beberapa kes melibatkan pegawai berperangai songsang dan melakukan aktiviti songsang yang dibuat keputusan untuk dibuang kerja tanpa kompromi mahupun kasihan belas. 

"Mana mungkin anak bangsa yang sedang dididik dan dibimbing oleh Mara dicorakkan oleh guru atau pensyarah atau pegawai berpekerti songsang," ujarnya lagi.

Pendirian tegas tersebut disuarakan beliau susulan penahanan 201 lelaki berumur antara 19 dan 60 tahun di sebuah spa di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, yang disyaki terbabit dalam aktiviti hubungan songsang, Jumaat lalu.

Daripada jumlah berkenaan, 17 daripadanya adalah penjawat awam antaranya pakar bedah, timbalan pendakwa raya, pegawai tadbir diplomatik, guru serta pegawai agensi penguatkuasaan.

 

Artikel Lain