suria

“Tolong, dia nak bunuh saya!” - Jeritan wanita minta bantuan tidak diendahkan, orang ramai hanya tengok dan rakam

Orang ramai hanya menyaksikan kejadian yang berlaku.

VIDEO tular memaparkan wanita bergelut dengan seorang lelaki di dalam kereta berwarna putih sambil menjerit meminta pertolongan mendapat perhatian warga maya.

Ia berikutan tiada seorang individu yang tampil membantunya meskipun wanita terbabit mendakwa dia akan dibunuh.

"Tolong, tolong, dia nak bunuh saya," demikian jeritan wanita terbabit.

Bagaimanapun, lelaki bersamanya menyatakan wanita tersebut berada dalam keadaan tidak sedar.

"Dia tak sedar bang. Sudah, sudah, bawa mengucap," jelas lelaki terbabit selepas diajukan mengenai situasi yang berlaku.

Lelaki terbabit seterusnya berjaya memaksa wanita berkenaan masuk ke kereta di bahagian tempat duduk penumpang hadapan dan menutup pintu.

Menerusi hantaran di Facebook, seorang pelayar menyatakan kejadian berlaku di tepi jalan berhampiran Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Rata-rata warga maya meluahkan simpati dengan situasi yang berlaku dan turut mempersoalkan sikap orang awam yang hanya bertindak merakam tanpa mengambil langkah sewajarnya.

"Nasib tak baik kak, menjerit minta tolong pun orang datang tengok dan rakam je.

"Kalau suami isteri pun, apa hak suami untuk pukul isteri? Berapa kau bayar wang hantaran sampai kau berhak nak pukul anak orang.

"Itu pentingnya ilmu... kalau tiada ilmu macam inilah jadinya manusia. Lebih suka melihat daripada membantu," demikian reaksi netizen.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohammad Lazim Ismail ketika dihubungi mStar menyatakan pihaknya belum menerima laporan berkaitan insiden yang tular.

Artikel Lain