SEORANG jurugambar maut selepas dirempuh sebuah kereta yang dipandu laju ketika merakam detik perpisahan pengantin dalam satu majlis perkahwinan di Sirsa, Haryana, India.Dalam kejadian di Jalan Hisar itu, mangsa berusia 25 tahun dilaporkan sedang menjalankan tugasnya sebelum tiba-tiba dilanggar kenderaan terbabit. Impak pelanggaran menyebabkan mangsa tercampak beberapa meter ke udara sebelum jatuh ke atas jalan.Tragedi tersebut mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia ketika tiba di hospital.Susulan daripada itu, pemandu kenderaan ditahan bagi membantu siasatan.Malah polis mengesahkan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan turut dirampas.Terdahulu, rakaman video berdurasi 37 saat yang memaparkan detik-detik jurugambar berkenaan dirempuh, tular di media sosial.Berdasarkan klip yang dikongsikan, mangsa dilihat bergerak perlahan-lahan sehingga ke tengah jalan bagi merakam pergerakan kereta yang membawa pengantin.Dia yang membuat rakaman terakhir dengan memberi fokus pada keluarga pengantin, bagaimanapun tidak menyedari kehadiran kereta berkenaan.Malah ketika dimaklumkan, dia tidak sempat mengelak seterusnya dirempuh sehingga terpelanting. -Agensi