SEORANG pelajar perubatan berusia 22 tahun di India mencetuskan kontroversi apabila didakwa meraih ribuan dolar dengan mencipta akaun ‘influencer’ wanita menggunakan kecerdasan buatan (AI).Apa yang mengejutkan, akaun tersebut dibuat bagi memperdaya pengikutnya yang berada di Amerika Syarikat (AS).Menurut laporan media antarabangsa, individu yang hanya dikenali sebagai Sam itu menggunakan avatar wanita rekaan bernama Emily Hart untuk menarik perhatian penyokong tegar politik konservatif di negara berkenaan.Difahamkan, Sam yang bercita-cita menjadi pakar bedah ortopedik berdepan masalah kewangan susulan kos pengajian yang tinggi, meskipun mendapat bantuan daripada keluarga.Pada awalnya, dia cuba menjana pendapatan melalui pelbagai cara termasuk menghasilkan kandungan video pendek dan menjual nota perubatan.Namun malangnya, segala usaha tersebut gagal memberi pulangan lumayan.Ekoran daripada itu, dia mencipta akaun Instagram menggunakan imej wanita AI berambut perang yang digambarkan sebagai jururawat.Figura tersebut lengkap dengan gaya hidup ‘tipikal Amerika’ seperti memancing ais, minum bir dan menembak di lapang sasar.Kandungan yang dihasilkan juga dipadankan dengan kapsyen berunsur provokatif dan menyokong ideologi konservatif, sekali gus menarik perhatian ramai.Dalam tempoh singkat, akaun itu meraih lebih 10,000 pengikut dengan setiap hantaran mencecah jutaan tontonan.Pengikut kemudian ‘dialihkan’ ke platform berbayar bagi mendapatkan kandungan eksklusif, termasuk imej yang dijana AI, selain penjualan barangan dengan slogan tertentu.Sam mendakwa dia hanya meluangkan kira-kira sejam sehari untuk mengendalikan akaun tersebut, namun mampu memperoleh pendapatan yang jauh lebih tinggi berbanding pekerjaan profesional di negaranya.Situasi yang berlaku itu membuatkan akaun Emily Hart akhirnya disekat pada Februari lalu selepas beroperasi selama beberapa minggu.Pembongkaran tersebut menyebabkan Sam menghentikan kegiatannya dan memberi fokus kepada pengajian bagi merealisasikan impiannya menjadi doktor sebenar. -Agensi