suria

Lamaran romantis bertukar tragedi, wanita ikat teman lelaki sebelum bakar hidup-hidup guna petrol

Polis telah menahan suspek susulan rakaman CCTV tidak selari kenyataan yang diberikan.

SEORANG lelaki tidak menyangka ‘lamaran gaya luar negara’ berakhir tragedi apabila dia maut dibakar hidup-hidup oleh kekasih sendiri.

Kejadian mengerikan pada Selasa itu berlaku di Bengaluru, India.

Berdasarkan laporan, mangsa, Kiran, 27, dipanggil ke rumah teman wanitanya sekitar pukul 10 pagi ketika ibu dan abang suspek tiada di rumah.

Suspek dikenali sebagai Prerana didakwa memperdayakan mangsa dengan menyatakan ingin membuat kejutan romantik.

Namun selepas berbual seketika, suspek menutup mata mangsa serta mengikat tangan dan kaki lelaki itu pada kerusi.

Apabila mangsa mempersoalkan tindakan tersebut, suspek menenangkannya dengan mengatakan ia adalah ‘lamaran gaya luar negara’ dan meminta dia berdiam diri.

Tanpa menyedari niat sebenar, mangsa dipercayai tidak melawan sebelum suspek menyimbah petrol ke atas tubuhnya dan membakarnya.

Mangsa yang terikat tidak mampu menyelamatkan diri dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Siasatan mendapati pasangan itu telah menjalin hubungan hampir setahun dan bekerja di sebuah syarikat telekomunikasi sama.

Namun, hubungan mereka dikatakan tegang apabila suspek berang kerana mangsa mengabaikannya selain enggan berkahwin.

Menerusi keterangan awal kepada polis, suspek mendakwa dia berada di bilik air sebelum terdengar bunyi dan mendapati mangsa sudah terbakar.

Bagaimanapun, versi tersebut tidak konsisten dengan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Malah hasil siasatan mendapati mangsa tidak membawa sebarang bahan mudah terbakar ke lokasi.

Susulan itu, polis percaya petrol yang digunakan suspek telah disediakan lebih awal, sekali gus menunjukkan pembunuhan itu dirancang.

Lebih mengejutkan, suspek turut dipercayai merakam kejadian tersebut menggunakan telefon bimbitnya ketika mangsa sedang terbakar.

Suspek kini ditahan polis untuk siasatan lanjut, manakala pihak berkuasa sedang meneliti keseluruhan kronologi serta motif sebenar kejadian. -Agensi

Artikel Lain