suria

Tak puas hati dengan abang ipar... Lelaki cekik, tekup muka anak saudara dengan bantal

Setiap perbuatan jenayah akan ada hukuman menanti. -Gambar hiasan AI

SEORANG lelaki mengaku bersalah atas tuduhan mendera anak saudara lelakinya yang masih bayi selama tiga bulan, dipercayai berpunca daripada dendam terhadap bapa kanak-kanak tersebut.

Menurut dokumen mahkamah, tertuduh berusia 32 tahun melakukan pelbagai perbuatan kejam termasuk mencekik, menekup muka dengan bantal serta menolak kepala mangsa ke dalam air. 

Lebih mengejutkan, dia turut merakam perbuatan itu dan menontonnya semula setiap kali berasa marah terhadap abang iparnya.

Kesalahan tersebut berlaku antara Julai hingga September 2024 ketika mangsa berusia antara sembilan hingga 11 bulan.

Kejadian di Singapura itu hanya terbongkar selepas seorang orang awam melihat tertuduh mengendalikan bayi itu secara kasar di kawasan bawah blok perumahan sebelum menghubungi polis.

Siasatan mendapati tertuduh mengambil peluang untuk mendera mangsa setiap kali bersendirian, sama ada di dalam bilik atau ketika membawa bayi itu keluar. 

Pihak pendakwaan menyifatkan perbuatannya sebagai dirancang dan bersifat sadistik.

Antara insiden dilaporkan termasuk menenggelamkan kepala mangsa ke dalam baldi air selama beberapa saat, memukul serta mencekik berulang kali hingga menyebabkan bayi tersebut tercungap-cungap dan menangis.

Dalam satu kejadian lain, tertuduh turut menggantung mangsa menggunakan penyangkut baju sebelum menjatuhkannya ke atas tilam, selain menampar dan menggoncang kepala bayi itu dengan kuat.

Kes terbongkar sepenuhnya pada 16 September 2024 apabila seorang wanita menyaksikan penderaan di kawasan awam dan bertindak menghalang tertuduh sebelum polis berjaya menahannya pada hari sama.

Lelaki itu kini berdepan lapan pertuduhan di bawah Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda dan pihak pendakwaan memohon hukuman penjara antara 12 hingga 15 tahun, manakala pihak pembelaan memohon hukuman lebih ringan.

Laporan perubatan menunjukkan mangsa berdepan risiko kecederaan otak, trauma fizikal serta kekurangan oksigen, selain dipercayai mengalami kelewatan perkembangan akibat penderaan berterusan.

Mahkamah menetapkan keputusan hukuman akan diumumkan pada Mei depan.-Agensi

Artikel Lain