SEORANG pekerja memenangi hadiah luar biasa iaitu cuti berbayar selama tujuh hari setiap kali hujan, dalam satu cabutan bertuah anjuran syarikatnya.Wanita itu menjadi tular di media sosial apabila diumumkan sebagai pemenang hadiah utama rain leave yang membolehkan dia berehat di rumah ketika cuaca buruk. Difahamkan, idea unik itu diperkenalkan oleh pihak pengurusan syarikat selepas mendengar rungutan pekerja mengenai kesukaran berulang-alik ke tempat kerja ketika musim hujan yang berpanjangan di Hunan, China.Selain cuti hujan, pelbagai hadiah lain turut ditawarkan dalam cabutan tersebut termasuk payung, but hujan, alat penyahlembap udara, pengering rambut serta subsidi tunai.Malah, terdapat juga ganjaran kreatif seperti pas lewat kerja yang membolehkan pekerja datang lambat tanpa dikenakan tindakan pada hari hujan.Lebih menarik, kesemua lebih 100 pekerja syarikat berkenaan dilaporkan menerima hadiah masing-masing, sekali gus mencetuskan rasa cemburu dalam kalangan netizen.“Inilah manfaat pekerja yang diidamkan,” antara komen pengguna media sosial yang tular.Inisiatif tersebut turut dipuji ramai kerana dianggap memahami keperluan pekerja, terutama di kawasan yang sering berdepan cuaca lembap dan hujan berterusan. -Agensi