suria

Bengkak hati selalu ‘flex’ kemewahan, warga emas rompak jongkong emas RM300,000 milik anak saudara

Rakaman CCTV yang dimuat naik di media sosial, memaparkan perompak terus menuju dan memasuki bilik simpanan barangan berharga. -Foto Facebook/Thaiger

SEORANG lelaki warga emas mengaku terbabit dalam kes rompakan jongkong emas milik anak saudara iparnya yang dianggarkan bernilai 2.5 juta baht atau RM308,136.

Kejadian dilaporkan berlaku pada 10 April lalu di sebuah bengkel kereta di daerah Mueang Ranong, Thailand.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dimuat naik mangsa di Facebook menunjukkan seorang suspek berpakaian gelap memasuki bilik simpanan barang berharga miliknya.

Mangsa mendakwa jongkong emas serta azimat Buddha bernilai lebih 2.5 juta baht telah dilarikan suspek.

Dia turut berkongsi imej sebuah trak pikap hitam yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu, selain menawarkan ganjaran 50,000 baht (RM6,162) bagi maklumat yang membawa kepada penahanan suspek.

Warga maya mengesyaki pelaku mungkin orang terdekat kerana mengetahui lokasi simpanan barang berharga.

Polis akhirnya mengesahkan salah seorang suspek adalah ahli keluarga mangsa sendiri, dikenali sebagai Tawin, 75 tahun. 

Ketika disoal siasat, Tawin mengaku membocorkan maklumat dan membantu merancang rompakan bersama tiga bekas rakan sekerjanya.

Menurut Tawin, dia bertindak demikian kerana tidak senang dengan tindakan mangsa yang sering mempamerkan kekayaan di media sosial. 

Tawin merancang rompakan itu semasa sambutan hari lahir ibu mangsa, memandangkan ketika itu semua ahli keluarga keluar meraikannya.

Dia mengambil kesempatan itu untuk menyalurkan maklumat kepada kumpulan perompak terbabit.

Pihak polis memaklumkan suspek lain telah dikenal pasti dan usaha memburu mereka sedang giat dijalankan. -Agensi

Artikel Lain