suria

Niat tambah pendapatan, akhirnya diri sendiri rugi... Pemuda 27 tahun dipenjara setahun terpedaya sindiket ‘voice phishing’

Memperdayakan seseorang sehingga mengalami kerugian adalah satu kesalahan jenayah. -Gambar hiasan

USAHA seorang lelaki menambah pendapatan melalui kerja sambilan berakhir detik hitam apabila dia dipenjara kerana didapati terlibat dalam sindiket penipuan ‘voice phishing’.

Tertuduh yang berusia 27 tahun dijatuhi hukuman penjara selama setahun oleh mahkamah di Korea Selatan pada Ahad.

Pendakwaan terhadapnya dibuat atas kesalahan melanggar undang-undang berkaitan penipuan kewangan berasaskan telekomunikasi.

Voice phising adalah satu bentuk penipuan siber yang menggunakan panggilan telefon untuk mencuri maklumat peribadi atau kewangan mangsa.

Ia berikutan dia memperdaya mangsa sehingga mengalami kerugian keseluruhan berjumlah 96 juta won (kira-kira RM300,000) antara Mac hingga Mei tahun lalu.

Menurut fakta kes, lelaki itu mula terjebak dalam kegiatan jenayah berkenaan ketika mencari pekerjaan sambilan sebelum berkenalan dengan ahli sindiket melalui sebuah laman pencarian kerja pada Februari 2024.

Ahli sindiket terbabit menawarkan bayaran kepada tertuduh bagi tugas menghantar wang tunai yang diperoleh daripada mangsa penipuan.

Siasatan mendapati sindiket tersebut menggunakan taktik menyamar sebagai pegawai bank dengan mengarahkan mangsa memohon pinjaman.

Selepas pinjaman diluluskan, mangsa dihubungi semula dan dimaklumkan kononnya mereka telah melanggar kontrak, sebelum diminta membayar sejumlah wang kepada 'kakitangan bank'.

Mahkamah dalam penghakimannya menegaskan bahawa jenayah penipuan telekomunikasi perlu dikenakan hukuman tegas kerana memberi kesan besar kepada orang awam.

Bagaimanapun, mahkamah mengambil kira faktor tertuduh tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

"Berdasarkan peranan tertuduh serta jumlah keuntungan sebenar yang diperoleh, adalah tidak wajar untuk meletakkan sepenuhnya beban kerugian mangsa ke atasnya," menurut kenyataan penghakiman itu. -Agensi

Artikel Lain