suria

Bertahun hidap penyakit misteri, rupanya cacing sepanjang 8cm ‘menumpang’ dalam otak

Cacing sepanjang 8cm yang dikeluarkan daripada otak pesakit wanita berkenaan. -Foto QQ.com

SEORANG wanita berdepan detik mencemaskan apabila doktor menemui seekor cacing sepanjang lapan sentimeter (cm) di dalam otaknya.

Penemuan itu turut merungkai misteri selepas dia mengalami pelbagai masalah kesihatan yang tidak dapat dijelaskan puncanya sejak beberapa tahun lalu.

Wanita berusia 61 tahun itu dilaporkan menjalani pembedahan otak bagi mengeluarkan cacing tersebut di wilayah Guangdong, selatan China pada awal April, menurut laporan media tempatan.

Menurut doktor, kehadiran parasit berkenaan dipercayai berpunca daripada kejadian dialami wanita itu ketika remaja.

Difahamkan, ibunya pernah menangkap seekor katak di hutan dan memasukkan kaki haiwan itu ke dalam rongga giginya sebagai ikhtiar merawat sakit gigi.

Amalan tradisional tersebut berasaskan kepercayaan bahawa kaki katak mampu 'mengeluarkan cacing gigi'.

Bukan itu sahaja, wanita terbabit juga mengakui sering minum air gunung tanpa dimasak selain pernah mencuba wain ular sebagai penawar alternatif.

Masalah kesihatannya mula menjadi serius selepas dia menjalani pembedahan vertebra lumbar pada tahun 2021.

Sejak itu, dia kerap mengalami kebas pada lengan, kaki dan kulit kepala. 

Keadaannya semakin merosot apabila dia mula mengalami sawan berulang pada penghujung tahun lalu.

Pada peringkat awal, doktor menghadapi kesukaran untuk mengenal pasti punca sebenar penyakit wanita berkenaan.

Bagaimanapun, seorang pakar neurologi akhirnya mengesan 'terowong' dalam otaknya, dipercayai laluan pergerakan parasit berkenaan.

Penemuan itu membawa kepada pembedahan segera bagi mengeluarkan cacing tersebut.

"Akhirnya kami menemui punca masalah kesihatannya. Pembedahan berjalan lancar dan keadaannya semakin bertambah baik," kata suami wanita itu kepada media. -Agensi

Artikel Lain