suria

Mahu anak lebih sihat, ibu jamu sup kek beras kepada bayi dua bulan… Siap pakej buah strawberi

Gambar yang dimuatnaiknya menyebabkan beberapa individu membuat laporan polis.

SEORANG wanita berusia lingkungan 30-an dirujuk kepada pihak pendakwaan selepas disyaki mendera bayi kerana memberi makanan tidak bersesuaian mengikut usia anaknya. 

Kes itu dilaporkan berlaku di Incheon, Korea Selatan.

Menurut Agensi Polis Metropolitan Incheon, siasatan mendapati wanita itu memberi sup kek beras atau tteokguk serta buah strawberi kepada bayinya yang baru berusia dua bulan di kediaman mereka antara Januari hingga Februari lalu.

Pihak berkuasa berpendapat tindakan tersebut boleh diklasifikasikan sebagai penderaan fizikal memandangkan tahap perkembangan bayi yang masih terlalu kecil.

Ketika disoal siasat, wanita itu bagaimanapun menafikan tindakan tersebut bertujuan untuk mencederakan bayinya.

Malah dia sebaliknya mendakwa makanan tersebut diberikan bagi memastikan anaknya lebih sihat.

Bagaimanapun, polis menegaskan tindakan memberi makanan pejal kepada bayi pada usia terlalu muda memenuhi kriteria penderaan kanak-kanak mengikut undang-undang.

Tedahulu, kes tersebut mula terbongkar selepas wanita berkenaan memuat naik gambar hidangan keluarganya di media sosial.

Ia berikutan gambar tersebut turut memaparkan semangkuk kecil sup yang sama dengan hidangan dewasa.

Perkongsian itu mencetuskan kebimbangan netizen sebelum beberapa individu membuat laporan kepada polis.

Menurut pakar pediatrik, bayi seusia itu sepatutnya hanya diberi susu ibu atau susu formula dan bukan makanan pejal.

Untuk rekod, tteokguk merupakan hidangan tradisi Korea yang diperbuat daripada kek beras dalam kuah daging dan lazimnya dimakan ketika sambutan Tahun Baharu Lunar.

Namun, tekstur kek beras yang kenyal dan padat berisiko menyebabkan bayi mudah tercekik, malah turut dilaporkan boleh membahayakan orang dewasa. -Agensi

Artikel Lain