SEORANG wanita berusia 49 tahun ditemukan mati dipercayai dibunuh oleh bekas birasnya. Kejadian ngeri itu dilaporkan berlaku di sebuah bilik sewa di kawasan Pondok Pakulonan, Serpong Utara, Tangerang Selatan, Indonesia pada awal pagi Khamis.Berdasarkan laporan, kejadian tersebut disedari jiran tetangga mangsa yang mendakwa terdengar jeritan meminta tolong.Namun malangnya, suspek yang berada di lokasi kejadian memaklumkan mangsa berada dalam keadaan baik.Menurut Ketua Perhubungan Awam Polis Metropolitan Jakarta, Pesuruhjaya Kanan Budi Hermanto, insiden itu bermula apabila mangsa bersama suspek keluar pada petang Rabu."Kedua-duanya keluar bersama dan pulang ke bilik sewa mangsa sekitar pukul 12.30 pagi," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.Tambahnya, tidak lama selepas mereka pulang, suasana di bilik sewa itu bertukar kecoh apabila seorang saksi mendengar mangsa menjerit meminta pertolongan.Suspek yang berada di lokasi ketika itu didakwa cuba menenangkan keadaan dengan memberitahu mangsa berada dalam keadaan baik sebelum meninggalkan tempat kejadian.Beberapa ketika kemudian, mangsa ditemukan sudah meninggal dunia di dalam biliknya.Susulan kejadian itu, pihak polis berjaya menahan suspek berusia 41 tahun kira-kira pukul 5.50 petang pada hari sama di kawasan Jombang Raya, Pondok Aren.Jelas Budi, dalam penahanan itu, polis turut merampas beberapa barang bukti termasuk pakaian mangsa dan suspek."Turut dirampas, sebuah motosikal, dua telefon bimbit serta wang tunai yang dipercayai hasil penjualan barang kemas milik mangsa," tambahnya.Dalam pada itu Budi memaklumkan, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) turut membantu siasatan kes berkenaan dan suspek kini berdepan pertuduhan di bawah Kanun Jenayah Indonesia berkaitan pembunuhan terancang.Dia juga bakal disabitkan kesalahan pembunuhan serta pencurian dengan kekerasan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara sehingga 20 tahun. -Agensi