KEADAAN geografi yang berbukit dan curam menyebabkan seorang wanita hamil terpaksa diusung ketika mendaki tangga.Menerusi video tular, wanita dari Sumenep, Jawa Timur, Indonesia itu dibawa menggunakan kain sarung yang diikat pada buluh oleh dua lelaki pada Jumaat. Manakala seorang lagi lelaki membantu menahan kakinya bagi mengelakkan ia terkena pada tangga.Beberapa lagi individu lain dipercayai ahli keluarganya dilihat berjalan di belakang bagi membantu memastikan keselamatan wanita itu.Difahamkan, terdapat sebuah pikap menantinya di puncak bukit bagi membantu menghantarnya ke hospital.Berdasarkan laporan, laluan tersebut dipercayai mempunyai kecondongan hampir 80 darjah dengan ketinggian sekitar 100 meter.Wanita itu dikenal pasti sebagai Irayatun Nasirah, 25, dari Kampung Tembayangan, Pulau Kangean, yang ketika itu sedang menahan sakit untuk melahirkan anak pertama.Menurut Setiausaha Kampung Tembayangan, Samdani, wanita berkenaan sebelum ini menerima rawatan di pusat kesihatan kampung selama dua hari, namun keadaannya tidak menunjukkan perubahan sebelum dirujuk ke hospital."Dia sudah tidak mampu menahan kesakitan sebelum dibawa ke Hospital Abuya dan menjalani pembedahan caesarean," katanya.Mengulas mengenai situasi jalan yang dilalui, ujarnya bukit tersebut merupakan satu-satunya laluan untuk penduduk mendapatkan akses ke kemudahan kesihatan kerana jalan utama tidak boleh dilalui kenderaan termasuk motosikal.Jelas Samdani, keadaan jalan yang tidak pernah dibaiki memaksa penduduk menggunakan kaedah manual seperti pengusung dalam situasi kecemasan. -Agensi