Seekor kucing yang bertindak agresif didakwa menjadi punca kelewatan Kereta Api Rapid No.169 yang dalam perjalanan dari Bangkok Aphiwat ke Yala. -Foto Thaiger
KISAH seekor kucing yang didakwa menjadi punca kelewatan sebuah kereta api selama tujuh jam mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan netizen.Insiden itu melibatkan Kereta Api Rapid No.169 yang dalam perjalanan dari Bangkok Aphiwat ke Yala, apabila ia dilaporkan tiba lewat sehingga 430 minit daripada jadual asal pada Isnin. Menurut perkongsian seorang pengguna Facebook, Kijja Pongpisan, kejadian bermula apabila seekor kucing tiba-tiba menjadi agresif di dalam gerabak.Difahamkan, kucing betina tersebut menggigit pemiliknya hingga berdarah sebelum mencakar beberapa penumpang lain, sekali gus mencetuskan kekecohan dalam kereta api berkenaan.Tiga kakitangan kereta api terpaksa mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengawal haiwan itu dengan menggunakan cadar sebelum perjalanan dapat diteruskan.Kucing tersebut dilaporkan berada di dalam gerabak tanpa pendingin hawa bersama pemiliknya, dan keadaan panas dipercayai menjadi faktor ia bertindak agresif.Bagaimanapun, ramai penumpang tampil menyangkal dakwaan bahawa kucing itu menjadi punca utama kelewatan tersebut.Menurut mereka, kelewatan sebenar berpunca daripada dua kegagalan enjin yang berlaku secara berturut-turut sepanjang perjalanan.Seorang penumpang mendakwa kereta api itu terlebih dahulu berhenti di stesen Na Phak Kwuang di Prachuap Khiri Khan bagi menunggu lokomotif gantian.Namun, perjalanan sekali lagi tergendala apabila lokomotif gantian tersebut turut mengalami masalah selepas tiba di stesen Khao Chaiyarat di Chumphon."Hanya mengambil masa 20 minit untuk menangkap kucing itu. Haiwan peliharaan itu tidak menyebabkan kelewatan tersebut," kata seorang pengguna media sosial.Sementara itu, Kereta Api Negeri Thailand (SRT) mengesahkan bahawa tren berkenaan sememangnya tiba lewat 430 minit, namun tidak memperincikan punca sebenar kejadian.Menurut SRT, kelewatan perkhidmatan kereta api secara umum boleh disebabkan oleh pelbagai faktor termasuk kerja pembinaan, kerosakan enjin, isyarat landasan atau insiden melibatkan penumpang. -Agensi