Wanita tua dikenali sebagai Ibu Dessy dikatakan hadir ke Universiti Almuslim hampir setiap hari. -Foto Lambegosiip/TikTok @namenamei07
PENUNTUT di sebuah universiti ini pasti sudah terbiasa melihat sosok seorang wanita tua di kampus mereka hampir setiap hari.Ketika ramai tertanya-tanya, sebuah video yang tular di laman sosial akhirnya merungkai persoalan mengenai gerangan wanita tua berkenaan. Berusia lebih separuh abad, wanita tersebut dikenali sebagai Ibu Dessy oleh kebanyakan penuntut dan warga Universiti Almuslim di Aceh, Indonesia. Dengan beg galas di belakang dan semangat yang seakan tidak pernah pudar, dia berjalan di sepanjang koridor kampus, malah sesekali duduk di dalam kelas, persis seorang mahasiswi.Namun Ibu Dessy bukanlah pelajar aktif.Menurut cerita yang berlegar, Ibu Dessy suatu ketika dahulu merupakan seorang mahasiswi yang bijak dan penuh dedikasi. Ketika itu, dia berada di fasa akhir pengajiannya, iaitu dalam proses menyiapkan tesis bagi meraih ijazah sarjana muda.Namun segalanya berubah apabila satu peristiwa tragis dipercayai berlaku, yang menjadi titik mula kepada keadaannya hari ini.Difahamkan, tesis yang diusahakan dengan penuh penat lelah itu hilang.Lebih memilukan, terdapat dakwaan bahawa hasil kerjanya itu diambil atau diplagiat oleh rakan sendiri.Kejadian tersebut dikatakan menyebabkan Ibu Dessy mengalami kemurungan yang serius. Trauma itu dipercayai membuatkan memorinya seakan terhenti pada saat dia masih bergelar mahasiswi yang gigih mengejar impian.Dalam pada itu, pihak universiti yang memahami situasinya menunjukkan sikap empati yang tinggi. Mereka membenarkan Ibu Dessy untuk terus berada di kawasan kampus, selagi kehadirannya tidak mengganggu sesi pengajaran dan pembelajaran. -Agensi