Kisah Wei yang bekerja sebagai buruh binaan demi menyara anak-anaknya menyentuh hati ramai. -Foto bilibili.com/SCMP
PENGORBANAN seorang ibu tunggal demi memastikan anak-anak mendapat kehidupan lebih baik nyata menyentuh hati ramai.Di China, kisah seorang wanita yang bekerja sebagai buruh binaan selama 16 tahun demi menyara keluarga kini tular dan mendapat perhatian meluas. Wanita dikenali sebagai Wei Guiyun, 40, dari wilayah Hunan itu berkongsi perjalanan hidupnya yang penuh liku selepas terpaksa membesarkan dua anak sendirian.Menurut Wei, dia mula bekerja sebagai buruh pada tahun 2010 ketika berusia 24 tahun.Ketika itu, anak perempuannya baru berusia dua tahun manakala anak lelakinya masih bayi."Dengan dua orang anak, tekanan kewangan sangat besar. Bapa mereka tidak bertanggungjawab dan enggan membantu, jadi saya terpaksa mencari pekerjaan untuk menyara keluarga," katanya.Tambahnya, kerja sebagai buruh binaan menjadi pilihan kerana ia membolehkannya memperoleh bayaran harian sambil terus menjaga anak-anak.Sepanjang 16 tahun, Wei melakukan kerja berat dengan mengangkat beg simen seberat 25 kilogram menaiki tangga setiap hari di tapak pembinaan.Dia dibayar sekitar 3 yuan (kira-kira RM1.74) bagi setiap beg untuk setiap tingkat, dan mampu memperoleh kira-kira 300 yuan (kira-kira RM174) sehari dengan membawa sehingga 100 beg.Hasil usaha tanpa lelah, pendapatan bulanannya meningkat secara beransur-ansur daripada sekitar 2,000 yuan (kira-kira RM1,160) kepada kira-kira 9,000 yuan (kira-kira RM5,219).Musim panas lalu, Wei mengambil keputusan untuk berpindah ke Guangzhou bagi mencari peluang lebih baik susulan persaingan sengit di tempat asalnya.Kini, dia menyertai pasukan pemindahan tempatan dan terus bekerja keras demi masa depan anak-anak.Perkongsian kisahnya itu nyata menyentuh hati ramai, malah dianggap sebagai simbol ketabahan seorang ibu yang sanggup berkorban demi keluarga. -Agensi