Menantu lelaki yang dipercayai menyelewang duit perniagaan bapa mentua ditahan bagi membantu siasatan. -Foto Istimewa
SEORANG lelaki tidak menyangka perbuatannya menyeleweng wang milik mentuanya terbongkar selepas fotonya berfoya-foya tular di media sosial.Lebih mengejutkan, wang berkenaan dipercayai digunakan untuk membiayai hubungan sulit dengan wanita lain, termasuk perbelanjaan mewah dan pembelian barangan berjenama. Kisah itu mula menjadi perhatian ramai selepas adik iparnya memuat naik gambar lelaki berkenaan bersama wanita dipercayai kekasihnya ketika berada di sebuah vila di Bali.Malah kapsyen yang ditulis pada gambar tersebut turut menyindir perbuatan lelaki tersebut yang curang menggunakan duit mentua.Kejadian berlaku Kepahiang, Bengkulu, Indonesia dengan suspek dikenali sebagai Aan didakwa menggelapkan wang milik mentuanya berjumlah Rp4.7 bilion (anggaran RM1.4 juta).Susulan pendedahan tersebut, pihak polis bertindak pantas menahan suspek di daerah Kepahiang tanpa sebarang pergelutan.Ketua Unit Jenayah Am Polis Kepahiang, Abdullah Barus berkata, siasatan awal mendapati suspek tidak menafikan perbuatannya.Menurutnya, lelaki itu mengaku mengambil wang hasil jualan kopi milik bapa mentuanya secara berperingkat.“Suspek mengakui perbuatannya dan wang tersebut tidak digunakan untuk keluarga atau perniagaan, sebaliknya dihabiskan untuk gaya hidup mewah,” katanya pada Rabu.Tambah beliau, pihaknya turut merampas beberapa barangan dipercayai dibeli menggunakan wang berkenaan termasuk wang tunai, telefon bimbit, komputer riba serta barangan berjenama.Kes kini masih dalam siasatan lanjut bagi mengenal pasti jumlah sebenar kerugian dan kemungkinan penglibatan pihak lain. -Agensi