suria

Mulut disumbat, tangan diikat! Jiran 70 tahun perkosa gadis OKU dua kali sampai mengandung

Kesihatan mangsa merosot teruk sehingga terpaksa didukung ketika membuat laporan polis.

SEORANG wanita kategori orang kurang upaya (OKU) berusia 21 tahun dipercayai menjadi mangsa rogol jirannya sehingga disahkan hamil 14 minggu.

Lebih menambah rasa pilu, keadaan fizikal mangsa semakin merosot sehingga terpaksa diusung ahli keluarga ketika hadir membuat laporan polis.

Menurut peguam mangsa, Hisbullah Huda, suspek berusia 70 tahun dipercayai melakukan perbuatan terkutuk itu terhadap mangsa.

Mangsa juga dipercayai diperkosa sebanyak dua kali di rumahnya.

Kejadian itu dilaporkan berlaku di Lumajang, Indonesia.

"Kejadian berlaku di rumah mangsa sendiri. Ketika itu, mangsa tidak mampu melawan kerana selain kurang upaya, dia juga diikat dan disumbat mulut oleh suspek," katanya.

Difahamkan, mangsa menghidap epilepsi yang menjejaskan kesedaran serta keupayaan kognitif, manakala ibunya turut mempunyai masalah kesihatan sama, menyebabkan pengawasan di rumah agak terhad.

Situasi itu dipercayai dimanfaatkan suspek yang merupakan jiran rapat mangsa untuk melakukan perbuatan keji berkenaan.

Keluarga mangsa hanya menyedari kejadian tersebut selepas keadaan kesihatannya merosot teruk sejak beberapa minggu lalu, termasuk mengalami muntah berpanjangan setiap kali makan dan minum.

Hasil pemeriksaan doktor kemudian mengesahkan mangsa hamil kira-kira 14 minggu, sekali gus mengejutkan keluarganya.

Akibat kekurangan nutrisi, berat badan mangsa dilaporkan menurun mendadak dan kini berada dalam keadaan lemah serta memerlukan pemantauan rapi.

Sementara itu, Ketua Perhubungan Awam Polis Lumajang, Suprapto memaklumkan pihaknya telah menerima laporan kes tersebut dan siasatan sedang dijalankan oleh Unit Perlindungan Wanita dan Kanak-kanak (PPA).

"Kami telah menerima laporan melalui Pusat Perkhidmatan Polis Bersepadu (SPKT) dan kes ini akan disiasat secara menyeluruh," katanya.

Keluarga mangsa berharap suspek segera diberkas dan didakwa di mahkamah atas perbuatan kejam itu, lebih-lebih lagi mangsa merupakan OKU yang kini hamil akibat kejadian berkenaan. -Agensi

 

Artikel Lain