suria

Trump umum perang hampir tamat, dakwa Iran terdesak capai perjanjian

Trump umum perang dengan Iran hampir tamat dalam sesi temubual bersama Maria pada Rabu.

 

PRESIDEN Amerika Syarikat, Donald Trump mendakwa konflik peperangan antara negaranya dan Iran, hampir berakhir susulan perkembangan positif termasuk perjanjian gencatan senjata selama dua minggu.

Menurut Trump, situasi semasa menunjukkan tanda-tanda penamatan konflik selepas ketegangan mula reda dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini.

"Saya rasa ia hampir tamat, ya. Saya melihat ia sangat hampir untuk berakhir," katanya dalam temu bual bersama hos FOX Business, Maria Bartiromo yang dijadual disiarkan dalam program Mornings with Maria pada Rabu.

Kenyataan itu dibuat ketika rundingan damai antara pegawai Amerika Syarikat dan wakil Iran dijangka disambung semula pada Khamis.

Ia susulan perbincangan hujung minggu lalu yang berlangsung di Pakistan menemui jalan buntu.

Pada Isnin, Trump turut mengumumkan sekatan laut ke atas semua pelabuhan Iran, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap negara itu walaupun Washington sebelum ini bersetuju menghentikan serangan udara.

Dalam masa sama, beliau menegaskan operasi ketenteraan Amerika belum berakhir sepenuhnya.

"Jika saya berundur sekarang, mereka perlukan 20 tahun untuk bangunkan semula negara itu. Kita belum selesai lagi," katanya sambil menambah Iran kini dilihat terdesak untuk mencapai perjanjian.

Sementara itu, Naib Presiden Amerika Syarikat, JD Vance bersama pegawai kanan Rumah Putih turut mengadakan rundingan dengan wakil Iran di Pakistan berhubung program nuklear dan pelan pengayaan uranium negara berkenaan.

Walaupun tiada keputusan muktamad dicapai, Vance berkata terdapat 'kemajuan besar' dalam rundingan tersebut dan menegaskan keputusan seterusnya kini bergantung kepada Iran.

Konflik antara kedua-dua negara tercetus pada 28 Februari lalu apabila Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan bersepadu ke atas Iran, yang mengorbankan Pemimpin Tertinggi negara itu, Ayatollah Ali Khamenei.

Sejak itu, Trump berulang kali mendakwa kekuatan ketenteraan Iran dilumpuhkan sepenuhnya.

Konflik berkenaan dilaporkan mengorbankan 13 anggota tentera Amerika Syarikat serta ribuan nyawa di rantau Timur Tengah.

Trump turut mempertahankan tindakan negaranya menyertai konflik itu dengan alasan untuk menghalang Iran daripada memiliki senjata nuklear.

"Jika saya tidak bertindak, Iran mungkin sudah memiliki senjata nuklear ketika ini," katanya. -Agensi

Artikel Lain