MISTERI kehilangan pakaian dalam akhirnya terjawab apabila ia dicuri oleh seorang lelaki yang perbuatannya itu berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV).Susulan itu, seorang wanita membuat laporan polis berhubung perbuatan lelaki berkenaan yang turut mencuri pakaian dalam pembantu rumahnya. Rakaman menunjukkan suspek dilihat berlegar dalam keadaan mencurigakan sebelum menghampiri rak pakaian di luar rumah mangsa.Lelaki itu kemudian memasukkan beberapa helai pakaian dalam ke dalam beg plastik sebelum beredar melalui tangga, dengan keseluruhan kejadian berlaku dalam tempoh kurang lima minit.Empat hari kemudian, suspek sama dipercayai kembali ke lokasi sekitar pukul 2.30 pagi dengan memakai topi dan pelitup muka, sebelum sekali lagi mengambil pakaian dalam yang digantung.Kejadian berlaku di Blok 226 Serangoon Avenue 4 di Singapura pada 7 April dan Sabtu lepas.Susulan kejadian itu, mangsa mengalami kerugian hampir S$150 (sekitar RM593) selepas beberapa pakaian dalam, termasuk yang baharu, dilaporkan hilang.Suami mangsa berkata, mereka mula mengesyaki kehilangan tersebut selepas beberapa kali pakaian tidak lagi berada di tempat asal.“Kalau jatuh sebab angin, mustahil semua hilang. Dari situ kami syak ada yang mencuri,” katanya.Dia turut mengakui terkejut apabila rakaman CCTV mengesahkan kehadiran individu tidak dikenali di koridor berkenaan.Pihak polis mengesahkan menerima laporan berkaitan kes tersebut dan siasatan lanjut sedang dijalankan.Dalam masa sama, keluarga itu menasihatkan penduduk lain agar lebih berwaspada serta tidak meninggalkan barangan peribadi di luar rumah tanpa pengawasan. -Agensi