suria

Khianati tanggungjawab... Bapa goncang bayi usia 5 minggu sampai mati, alami kecederaan otak serius dan patah rusuk

Jefferson dijatuhi hukuman selepas didapati bersalah menyebabkan kematian anaknya.

SEORANG bapa dijatuhi hukuman penjara seumur hidup selepas didapati bersalah membunuh bayi perempuannya yang baru berusia lima minggu.

Tertuduh, Sean Jefferson, 35, didapati bersalah atas pertuduhan membunuh serta dua pertuduhan menyebabkan kecederaan parah dengan niat.

Mahkamah Crown Stafford, England, diberitahu bayi tersebut meninggal dunia pada 29 Mac 2022 akibat kecederaan otak serius selepas dipercayai digoncang atau kepalanya dihentak dengan kuat. 

Sewaktu perbicaraan, mahkamah turut diberitahu Jefferson bertindak ganas ke atas bayi berkenaan kerana gagal mengawal emosi dan kemarahannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Bayi 5 bulan meninggal dunia selepas pembedahan jantung... Keluarga saman, tuntut janji kadar kejayaan 99.5 peratus

Bayi itu mengalami patah tulang rusuk serta kecederaan pada kedua-dua kaki sebelum kematiannya.

Dalam prosiding sama, ibu bayi tersebut, Amy Clark, 34, turut dihukum penjara tujuh tahun selepas didapati bersalah atas kesalahan membenarkan atau gagal menghalang kematian serta kecederaan serius terhadap anaknya.

Hakim Brunner KC menegaskan kematian seorang kanak-kanak atau bayi adalah tragedi besar dan menyifatkan perbuatan tertuduh sebagai pengkhianatan terhadap tanggungjawab seorang bapa yang sepatutnya melindungi anaknya.

Kes ini kembali menjadi perhatian selepas keputusan hukuman diumumkan pada 16 April, sekali gus mengakhiri perbicaraan panjang yang bermula sejak kes kematian bayi itu pada 2022. -Agensi

Artikel Lain