suria

Anak perempuan kahwin lari, jiran pula jadi mangsa... Ibu tergamak jamu ‘dessert’ dicampur pil tidur!

Suspek mengaku melakukan jenayah akibat rasa dendam terhadap jirannya. -Gambar hiasan AI

SEORANG wanita ditahan selepas dipercayai cuba meracuni jirannya sendiri.

Menurut polis, suspek dikenali sebagai Ushaben Mahendrabhai Nakrani mengaku mencampurkan pil tidur dalam jumlah tinggi ke dalam manisan boondi laddoo sebelum meletakkannya di hadapan rumah mangsa pada 10 April lalu.

Malah menerusi kejadian yang dilaporkan berlaku di kawasan elit Shaligram States di Surat, India itu dia dengan sengaja memasukkan bahan itu ke dalam ‘prasad’ atau makanan keagamaan bagi menghilangkan rasa syak.

Tambahnya, rancangan jahat itu terbongkar selepas anak perempuan keluarga berkenaan, Isha, bertindak memeriksa baki manisan sebelum menemui beberapa biji pil tersembunyi di dalamnya.

Hasil siasatan mendapati suspek menyimpan dendam terhadap keluarga tersebut selepas mengesyaki mereka membantu anak perempuannya melarikan diri untuk berkahwin lapan bulan lalu.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 123 Bharatiya Nyaya Sanhita kerana menyebabkan kecederaan menggunakan racun.

Keluarga mangsa kini hidup dalam trauma dan bimbang akan keselamatan mereka, malah merayu pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap suspek.

"Kalau kami makan lebih banyak hari itu, mungkin seluruh keluarga sudah tiada," ujar salah seorang mangsa yang trauma dengan kejadian tersebut. -Agensi

Artikel Lain