suria

Demi duit pencen bulanan, lelaki simpan mayat ibu dalam peti sejuk beku... Perbuatan kejam terbongkar selepas dua tahun

Penahanan dibuat bagi membantu siasatan. -Gambar hiasan

SEORANG lelaki mengaku bersalah atas kesalahan menghalang pengebumian ibunya selepas mayat wanita itu ditemukan disimpan dalam peti sejuk beku.

Berdasarkan laporan pada Khamis, tertuduh, Christopher Phillips, 60, didakwa menyimpan mayat ibunya, Sylvia Phillips, yang juga bekas setiausaha syarikat, sejak wanita itu meninggal dunia sekitar tahun 2023.

Lebih mengejutkan, lelaki dari Wales, United Kingdom itu turut mengakses akaun bank ibunya dan mengeluarkan wang simpanan serta pencen bagi menampung kos hidupnya di Porthcawl.

Kejadian terbongkar selepas pihak polis menjalankan pemeriksaan di kediaman mereka pada Februari lalu, susulan kebimbangan doktor yang gagal menghubungi wanita berkenaan.

Hasil pemeriksaan menemukan mayat mangsa di dalam peti sejuk beku sebelum suspek ditahan di lokasi kejadian.

Di mahkamah, Phillips mengaku bersalah atas pertuduhan menghalang pengebumian serta dua pertuduhan penipuan kerana menggunakan wang ibunya tanpa memaklumkan kematian tersebut kepada pihak berkuasa.

Mahkamah dimaklumkan bahawa tertuduh terus mengeluarkan wang daripada akaun ibunya selepas kematian bagi menyara kehidupannya.

Sementara itu, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk punca sebenar kematian mangsa yang masih belum dapat dipastikan.

Prosiding inkues turut diberitahu bahawa bedah siasat telah dijalankan, namun keputusan penuh masih belum diperoleh.

Mahkamah menetapkan kes akan disambung pada tarikh lain, manakala tertuduh kini direman sementara menunggu hukuman pada Jun ini. -Agensi

Artikel Lain