suria

Cubaan menyorok dalam bilik tak berjaya, gadis 21 tahun cedera di kepala dihentak bekas teman lelaki guna tukul kayu

Lokasi mangsa yang berusia 21 tahun dipukul bekas teman lelakinya.

SEORANG lelaki berusia 31 tahun ditahan selepas dipercayai menyerang bekas teman wanitanya di sebuah flat di Kwai Chung, Hong Kong.

Berdasarkan laporan pada Sabtu, insiden berlaku kira-kira pukul 9.48 malam Jumaat di unit kediaman milik suspek.

Menurut polis, siasatan awal mendapati suspek pernah menjalinkan hubungan bersama mangsa yang baru berusia 21 tahun.

Ujarnya sebelum insiden berlaku, pasangan terbabit dipercayai bertengkar mengenai hal peribadi.

Tambahnya, mangsa dipercayai dipukul oleh suspek sebelum melarikan diri ke dalam bilik tidur bagi menyelamatkan diri.

Bagaimanapun, suspek bertindak agresif apabila menggunakan tukul kayu untuk memecahkan pintu bilik sebelum meneruskan serangan dan merosakkan telefon bimbit milik mangsa.

Susulan kejadian itu, pihak polis yang tiba di lokasi menahan suspek bagi membantu siasatan atas kesalahan mendatangkan kecederaan dan khianat.

Mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan tangan dan dihantar ke hospital dalam keadaan sedar untuk menerima rawatan lanjut.

Kes kini disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Daerah Kwai Tsing. -Agensi

Artikel Lain