suria

41 orang jadi mangsa ‘sangap’ pegawai pendidikan! Kantoi pasang kamera tersembunyi di enam lokasi berbeza

Suspek mempunyai 47 rakaman video yang mengaibkan.

SEORANG bekas pegawai di pejabat pendidikan daerah (PPD) didakwa di mahkamah atas pertuduhan merakam secara rahsia puluhan mangsa menggunakan kamera tersembunyi di beberapa lokasi berbeza.

Suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu didakwa melakukan perbuatan berkenaan terhadap 41 mangsa di enam lokasi berbeza antara 3 Januari hingga 25 Februari lalu.

Difahamkan, suspek merupakan bekas pegawai di PPD Chungbuk, Korea Selatan.

Mendedahkan perkara tersebut kepada mahkamah pada Jumaat, pihak pendakwaan berkata, hasil siasatan menemukan sebanyak 47 rakaman mengaibkan, yang dirakam menggunakan empat kamera kecil.

Suspek juga didakwa memasang kamera di asrama wanita sebuah pusat latihan sebelum merakam rakan sekerja selama dua hari.

Selain itu, dia juga didakwa meletakkan kamera di bilik air di rumah saudara dan merakam mangsa selama beberapa hari.

Kegiatan suspek terbongkar pada 25 Februari lalu selepas dia ditangkap ketika cuba memasang kamera tersembunyi berbentuk pemetik api di tandas sebuah restoran di Cheongju.

Penahanan dilakukan selepas seorang pelanggan melaporkan aktiviti mencurigakan sebelum polis tiba dan menahan suspek di lokasi kejadian.

Susulan kes tersebut, Pejabat Pendidikan Chungbuk telah memecat suspek pada bulan lalu.

Kini, lelaki itu didakwa atas kesalahan merakam secara haram serta menceroboh kemudahan awam bagi tujuan seksual mengikut undang-undang jenayah berkaitan keganasan seksual. -Agensi

Artikel Lain