DATUK Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan rasuah melibatkan wang tunai dan barangan berjumlah RM176,829.03.
Bekas setiausaha politik kanan perdana menteri itu dituduh menerima wang tunai RM140,000 serta kelengkapan perabot dan barangan elektrik bernilai RM36,829.03 daripada Tei Jiann Cheing dalam empat pertuduhan berasingan antara 24 November 2023 dan 5 Mac tahun lepas.
Shamsul Iskandar, 51, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut di hadapan Hakim Suzana Hussin, pada Khamis.
Pertuduhan dikemukakan mengikut seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) Akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Dia dibenarkan diikat jamin RM150,000 dengan dua penjamin berserta syarat tambahan melapor diri di pejabat SPRM sekali sebulan, pasport diserahkan kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan.
Mahkamah kemudian menetapkan 8 Januari depan bagi sebutan semula kes.


