suria

Pemain pickeball cuba ambil bola maut terjatuh dari gelanggang di tingkat 3

Kemalangan maut boleh berlaku di mana sahaja. -Gambar hiasan

SEORANG pemain pickleball dilaporkan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga sebuah kompleks sukan di Pudu, Kuala Lumpur pada Selasa.

Berdasarkan perkongsian yang tular di media sosial, mangsa dipercayai cuba mengambil bola melepasi kawasan berpenghadang.

"Pagar dan jaring yang dipasang adalah untuk menandakan sempadan dan mengelakkan bola tercampak keluar dari bangunan, tetapi tidak direka untuk menampung berat badan atau boleh dilintasi.

"Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) telah diserahkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan serta mengurangkan spekulasi dan khabar angin," menurut perkongsian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 9.43 malam Selasa membabitkan mangsa lelaki berusia 32 tahun.

"Mangsa difahamkan sedang bermain pickleball di gelanggang tingkat tiga sebelum bola permainan tercampak keluar kawasan.

"Dia kemudian bertindak memanjat pagar di sebelah gelanggang untuk mengambil semula bola tersebut namun tergelincir dan jatuh ke tingkat bawah," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.

Dalam pada itu, PLAYA Racquet Club menerusi kenyataan di Instagram Story pada Rabu menyifatkan kejadian itu sebagai tragedi  dan meminta orang ramai menghormati privasi keluarga mangsa serta mengelakkan spekulasi sehingga siasatan selesai.

"Kami amat sedih dengan insiden tragis yang berlaku di fasiliti TREC kami, yang mengakibatkan kehilangan nyawa.

"Kami memohon belas kasihan daripada semua pihak agar menghormati privasi keluarga serta insan tersayang yang terjejas dalam insiden ini," katanya.

Artikel Lain