HANTARAN seorang wanita mengenai pemergian Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin mengundang pelbagai reaksi netizen.
Bagi wanita ini, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu mempunyai keperibadian baik dan melakukan amalan mulia kerana meninggal pada hari Jumaat.
"Bung Moktar yang hari-hari kena maki pun meninggal hari Jumaat. Kita yang merasa diri baik ini belum tentu... itu pun jangan.
"Adalah tu kebaikan dia yang hanya Allah tahu, bukan manusia. Innalillahi wainna ilaihi rajiun," tulisnya di Thread.

Komen seorang netizen mengenai pengalamannya menjaga Allahyarham Bung Moktar.
Dia bagaimanapun mengaku terdapat khilaf ulama mengenai siksaan orang yang meninggal dunia pada hari Jumaat.
Namun katanya, Jumaat adalah hari yang mulia.
Pada masa sama, dia menyatakan terdapat ramai individu berkongsi pengalaman menerima bantuan dan sumbangan daripada Allahyarham.
"Membaca banyak komen-komen yang pernah menerima bantuan. Itu mengesahkan beliau adalah orang yang baik walaupun kita tidak bersetuju," tambahnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Bung Moktar meninggal dunia
ARTIKEL BERKAITAN: Sempat luah isi hati sebelum suami meninggal dunia, Zizie Ezette dedah kebaikan arwah Bung Moktar… Keluarga bergegas ke Kota Kinabalu
Dalam pada itu, seorang individu tampil berkongsi pengalaman menjaga Allahyarham Bung Moktar semasa beliau dirawat di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.
Menurut lelaki ini, dia juga tidak menyangka bahawa Allahyarham sering membaca al-Quran dan melakukan solat sunat sepanjang tempoh di hospital.
"Sumpah tak sangka, selama dia stay dalam bilik (hospital), dia kuat mengaji al-Quran dan solat sunat.
"Saya pernah tegur Datuk rupanya warak juga kan, tapi masa tu dia gelak saja dan cakap tak apa orang luar ramai bilang dia jahat.
"Tapi berbeza sungguh apa yang saya nampak depan mata," ujar lelaki ini berkongsi pengalaman menjaga Ahli Parlimen Kinabatangan itu.

Antara reaksi warga maya pada hantarannya.
Malah dia turut mendedahkan, Allahyarham sering belanja kakitangan perubatan makan sepanjang dirawat di hospital berkenaan.
"Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman," tambahnya.
Untuk rekod, Bung Moktar menghembuskan nafas terakhir di usia 66 tahun, pada pukul 1.46 pagi Jumaat di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu.
Beliau dilaporkan menerima rawatan akibat kegagalan fungsi buah pinggang dan jangkitan teruk pada paru-paru.
Allahyarham juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah (ADUN) bagi kawasan Lamag sejak September 2020 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Menteri I serta Menteri Kerja Raya Sabah dari September 2020 hingga Januari 2023.
Beliau berjaya mempertahankan kerusi Lamag pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 yang berlangsung 29 November lalu dengan majoriti 153 undi dalam persaingan enam penjuru.
Allahyarham meninggalkan isteri Datin Seri Nor Asidah Alimuddin dan Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad serta tujuh orang anak.


